BELANJAWAN 2025 > BERITA

UOB: Prospek ASEAN-6 Mengatasi Unjuran Pertumbuhan KDNK Global Pada 2025

05/12/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- United Overseas Bank (UOB) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi blok ASEAN-6 akan mencecah 4.8 peratus pada 2025, mengatasi unjuran pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global iaitu 3.2 peratus.

Ahli Ekonomi UOB ASEAN Enrico Tanuwidjaja berkata KDNK bagi blok ASEAN-6 iaitu Indonesia dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus, Malaysia 5.3 peratus, Filipina (6.5 peratus), Singapura (2.5 peratus), Thailand (2.9 peratus) dan Vietnam (6.8 peratus).

“Negara-negara yang memiliki asas pelanggan yang besar cenderung untuk menyerap kesan daripada ketegangan dalam perdagangan global,” katanya sambil menambah prospek perdagangan dan pelaburan langsung asing bagi negara-negara berkenaan akan kekal positif.

Tanuwidjaja berkata demikian pada Taklimat Media Secara Maya mengenai Prospek Makroekonomi 2025 UOB Global Economics and Market Research hari ini.

 

Peralihan rantaian bekalan global disebabkan ancaman tarif

 

Beliau berkata peralihan berterusan dalam rantaian bekalan global ke arah negara-negara ASEAN, dipacu oleh Strategi China Plus One (C+1), boleh mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi ASEAN-6 apabila ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin meningkat.

Memetik penggal pertama Donald Trump sebagai Presiden AS, Tanuwidjaja mendapati trend pengalihan dan pengimbangan semula rantaian bekalan di seluruh ASEAN, dengan Singapura muncul sebagai destinasi utama.

“Singapura selalunya merupakan lokasi awal bagi para pelabur sebelum mereka berkembang ke rantau yang lebih luas. Selepas itu, negara-negara seperti Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Thailand boleh menjadi penerima manfaat dari Singapura,” tambahnya.

Beliau menekankan ASEAN akan terus menarik pelaburan yang berkualiti, terutama berkaitan dengan strategi kepelbagaian global dalam pembuatan dan teknologi, serta sektor-sektor yang menyasarkan pasaran pendapatan bagi kelas pertengahan muda dan berkembang dengan potensi penggunaan yang tinggi.

“Bagi memanfaatkan peluang-peluang ini, ekonomi ASEAN mesti mengutamakan transformasi berstruktur yang mantap termasuk peningkatan modal insan, mewujudkan peraturan yang mesra pelaburan dan menarik pelaburan dalam sektor baru muncul,” katanya.

Tanuwidjaja juga mendedahkan potensi ASEAN yang belum diterokai dalam pasaran penggunaan, kerana kebanyakan segmen itu kurang terjejas oleh tarif yang hanya menguasai sektor bernilai tinggi dan teknologi, oleh itu pelaburan global dijangka mengalir ke ASEAN.

Merujuk kepada penerima manfaat mengikut segmen, beliau menambah sektor kewangan dan insurans menerima bahagian pelaburan tertinggi, dengan lebih 40 peratus daripada pelaburan masuk ke dalam sektor-sektor itu, diikuti oleh pembuatan, perkhidmatan teknikal dan profesional, peruncitan, pengangkutan dan penyimpanan.

 

Kapasiti berlebihan China, ancaman tarif dan ASEAN

 

Ketika ditanya mengenai isu kapasiti berlebihan China, ditambah lagi dengan ancaman tarif AS, Tanuwidjaja berkata keadaan itu masih boleh diurus dengan manfaat berpotensi untuk negara-negara ASEAN yang lebih kecil.

“Ini boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam kalangan pengeluar tempatan; bagaimanapun, skalanya boleh diurus. Salah satu penyelesaiannya adalah untuk menjalin perkongsian dengan firma tempatan melalui usaha sama. Selain itu, penyelesaian dua hala secara langsung dalam kalangan negara anggota ASEAN boleh diteruskan,” katanya.

Ahli Ekonomi Kanan UOB (Malaysia) Julia Goh turut mengutarakan pandangan itu, menekankan kepentingan mengurangkan amalan antilambakan dan mengutamakan nilai tambah tempatan untuk mengukuhkan rantaian bekalan dan langkah-langkah perlindungan balas.

Mengenai daya tarikan ASEAN untuk pelaburan asing di bawah dasar ‘America First’ Trump, Goh berkata dasar itu boleh mempercepatkan peralihan rantaian bekalan ketika AS berusaha untuk terus menjauhkan diri dari China.

“Bagaimanapun, tindakan berhati-hati diperlukan bagi menangani potensi sekatan sekunder dan kawalan eksport yang menyasarkan negara-negara 'China Plus One'. Trajektori akan bergantung pada dasar khusus yang dilaksanakan mungkin di bawah Trump 2.0. ASEAN mesti mengemudi langkah-langkah ini dengan berhati-hati,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan