KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pakar tenaga boleh baharu solar, Northern Solar Holdings Bhd (Northern Solar) berhasrat mengumpul sebanyak RM42.4 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) bersempena dengan penyenaraiannya di Pasar ACE Bursa Malaysia.
IPO ini membabitkan terbitan awam sebanyak 67.3 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 35.6 juta saham sedia ada pada harga RM0.63 setiap saham.
Penyenaraian tersebut dijadualkan untuk dilaksanakan pada 6 Feb, 2025.
Bercakap pada pelancaran prospektus Northern Solar, Pengarah Urusannya Lew Shoong Kai berkata selepas pengumpulan IPO, Northern Solar berhasrat mengembangkan perniagaannya dengan meningkatkan tumpuan dan liputan syarikat di Malaysia meliputi Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah.
"Seiring dengan ini, kami menubuhkan pejabat korporat baharu dengan pusat arahan kejuruteraan untuk menyeleraskan operasi dengan lebih cekap.
"Pusat arahan ini sudah tentu akan dilengkapi dengan peralatan pemantauan dan pengurusan sistem fotovoltaik (PV) solar untuk menyediakan pemantauan masa nyata sistem PV solar bagi pelanggan," katanya.
Lew berkata syarikat juga bercadang untuk mengamalkan model membangunkan, memiliki dan mengurus portfolio aset PV solar yang menjual tenaga elektrik dan dijana kepada pengguna Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) serta penggunaan sendiri (SelCo) untuk menghasilkan aliran pendapatan yang stabil.
"Untuk semua rancangan ini, kami akan memperuntukkan sebanyak RM32.3 juta yang merupakan kira-kira 76 peratus daripada hasil IPO," katanya.
Menurut prospektus itu lagi, syarikat merancang untuk menggunakan sebanyak RM29.2 juta atau 68.8 peratus daripada hasil yang diperoleh daripada IPO untuk tujuan modal kerja bagi mengembangkan perniagaan sistem PV solarnya.
"Sebanyak RM3.2 juta lagi (7.4 peratus) daripada hasil tersebut akan digunakan untuk menubuhkan pejabat korporat baharu dengan pusat arahan kejuruteraan di Petaling Jaya serta untuk membiayai penubuhan pejabat yang diperluaskan di Johor dan pejabat tambahan di Pulau Pinang.
"Ini bagi mengukuhkan kehadiran pasarannya di kawasan selatan dan utara Semenanjung."
"Selebihnya daripada hasil tersebut akan digunakan untuk membayar pinjaman bank yang berjumlah RM5.5 juta (13.0 peratus) dan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM4.6 juta (10.8 peratus)," katanya.
Northern Solar berkata berdasarkan modal saham yang diperbesarkan adalah sebanyak 395.6 juta saham pada harga saham RM0.63 manakala permodalan pasaran diunjurkan berjumlah RM249.2 juta.
IPO ini dibuka untuk langganan bermula hari ini sehingga 20 Jan, 2025.
M & A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial