BELANJAWAN 2025 > BERITA

ANAK JADI INSPIRASI GURU PEDALAMAN BINA BILIK MULTISENSORI BANTU MURID PENDIDIKAN KHAS

15/12/2024 12:46 PM
From: Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Seorang guru di pedalaman negeri ini menjadikan anak lelaki tunggalnya yang juga kanak-kanak autisme sebagai sumber inspirasi membangunkan projek bilik multisensori bagi membantu perkembangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di sekolahnya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Keningau Dr Velerie Wheelervon Primus, 35, berkata kefahaman mendalam mengenai keperluan pendidikan inklusif melibatkan pembangunan deria dan perkembangan positif MBPK mendorongnya mengubah suai rumah guru lama di sekolah berkenaan untuk dijadikan tiga bilik multisensori.

Pendidik berketurunan Dusun itu berkata bilik pertama melibatkan ruangan pengajaran dan pembelajaran merangkumi bilik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pengintegrasian digital manakala yang kedua bilik Snoezelen, berfungsi menempatkan murid tantrum dan belum bersedia untuk belajar.

"Bilik ini (Snoezelen) juga dilengkapi dengan aromaterapi dan dapat memberi ketenangan kepada murid yang tantrum. Ketiga, bilik terapi bermain yang berfungsi sebagai ganjaran kepada murid yang menunjukkan prestasi baik dalam setiap waktu pengajaran dan turut berfungsi sebagai ruang untuk melatih terapi cara kerja murid-murid autisme," katanya kepada Bernama.

Velerie berkata bilik multisensori seumpama itu adalah yang pertama dibangunkan di Keningau dan dilihat amat membantu dalam melatih deria MBPK khususnya di sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 126 kilometer dari pusat bandar raya ini.

Anak jati Keningau itu berkata dalam kajian penyelidikan dan teori piramid deria menyatakan MBPK perlu memenuhi keperluan deria bagi membolehkan mereka belajar serta fokus dalam kelas seperti murid di aliran perdana.

"Kaedah ini memberi impak kepada 70 peratus murid autisme yang mengalami masalah pertuturan dan tingkah laku manakala dari segi akademik, 10 murid autisme (SK Bingkor) berupaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik," katanya.

Velerie berkata beliau memulakan projek berkenaan pada hujung tahun lepas dan siap awal tahun ini melibatkan kos kira-kira RM25,000, dengan RM10,000 menggunakan hasil hadiah kemenangan Anugerah Rise Educator 2023 manakala selebihnya menggunakan sumber kewangan sendiri.

"Saya masih 'menaik taraf' secara berperingkat terutama peralatan dalam bilik multisensori ini," katanya sambil memberitahu beliau giat menjalankan bengkel serta ceramah perkongsian mengenai amalan inovasi dalam pendidikan sejak 2021.

Kesungguhan Velerie dalam memartabatkan hak anak-anak istimewa mendapatkan akses pendidikan menerusi bimbingan menyeluruh mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan pemenang Malaysia Teacher Prize 2024 pada Oktober lepas yang disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Gembira dan bersyukur dengan pencapaian itu, Velerie berkata beliau turut menerima beberapa anugerah lain sepanjang tahun ini iaitu Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa Peringkat Kebangsaan; Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa Peringkat Negeri Sabah dan Anugerah Perdana Belia Negeri Sabah.

Beliau berkata inovasi amat membantu terutama dalam kalangan guru serta ibu bapa untuk memudahkan penyampaian ilmu kepada murid dan anak-anak sama ada di dalam bilik darjah mahupun di rumah.

"Tahun ini saya telah melibatkan empat rakan guru SK Bingkor untuk menghasilkan produk inovasi dan kami telah menerima tiga anugerah emas dan dua anugerah perak dalam pertandingan inovasi guru negeri Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Velerie yang berpegang teguh dengan prinsip 'keajaiban memang berlaku' akan terus memperkasakan misinya untuk meningkatkan akses serta hak pendidikan MBPK menerusi peningkatan profesionalisme guru-guru dan ibu bapa mengenai pendidikan murid-murid berkenaan.

"Misi jangka panjang pula, saya ingin menubuhkan sebuah persatuan komuniti sokongan ibu bapa yang mempunyai anak MBPK. Ramai di luar sana masih belum mempunyai pengetahuan mengurus anak-anak kategori ini.

"Dengan adanya komuniti sokongan ini, kami dapat membantu sesama komuniti dan juga menjalankan latihan pembangunan untuk mengurus serta mendidik anak berkeperluan khas di rumah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan