BELANJAWAN 2025 > BERITA

MALAYSIA CAPAI SASARAN SEJUTA PELANCONG DARI INDIA SETAKAT NOVEMBER - TIONG

15/12/2024 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis -- Malaysia telah berjaya mencapai sasarannya bagi tahun ini untuk menarik kehadiran sejuta warga India apabila merekodkan sejumlah 1,009,114 pelancong dari negara itu antara Januari hingga November 2024.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata angka itu mencerminkan peningkatan ketara sebanyak 47 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik dan pertumbuhan 71.7 peratus berbanding 2023 sekali gus  membuktikan peningkatan populariti Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancong India.

Beliau berkata pengenalan visa kemasukan percuma pada Disember 2023 terbukti menjadi inisiatif transformatif sekali gus memacu peningkatan ketara dalam jumlah pelancong India ke Malaysia dan dasar ini telah membuka peluang baharu bagi sektor pelancongan serta memainkan peranan penting dalam pertumbuhan luar biasa ini.

"Sebagai respons kepada lonjakan ini, 2024 turut menyaksikan pelancaran pelbagai laluan baharu dari India termasuk langkah Indigo Airlines yang memperkenal penerbangan terus secara harian ke Pulau Pinang dan Langkawi bermula pada Disember 2024 selain laluan sedia ada ke Kuala Lumpur.

"Peningkatan kesalinghubungan dari India ini membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiong berkata usaha promosi Tourism Malaysia di India, yang menjalinkan kerjasama dengan empat pengendali dan agensi pelancongan secara dalam talian (OTA) terkemuka di negara itu telah membuahkan hasil positif.

Beliau berkata promosi kolaboratif dan kempen pemasaran yang kreatif telah berjaya mengetengahkan kekayaan warisan serta tarikan bertaraf dunia Malaysia kepada khalayak di India.

"Pengiktirafan Malaysia sebagai Destinasi MICE Terbaik 2024 dalam pasaran India telah mengukuhkan lagi reputasinya sekali gus menjadikan ia sebagai pilihan utama syarikat korporat India untuk menganjurkan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

"Melihat ke hadapan pada 2025, Malaysia bersedia meneruskan kejayaan tahun ini dengan meningkatkan kesalinghubungan, membangunkan produk pelancongan yang disesuaikan dan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi industri," katanya.

Meskipun negara sedang giat melakukan persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, Tiong berkata ia tetap berdedikasi dalam menyediakan pengalaman yang sukar dilupakan kepada pelancong India dan mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka.

Beliau juga berkata perkhidmatan syarikat Indigo telah menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan terus dari India ke Malaysia ialah 246 yang merupakan langkah penting dalam memperkukuh rangsangan bagi ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan ini sekali gus memperkukuh kesalinghubungan serta menampung permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan antara India dan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan