BELANJAWAN 2025 > BERITA

YOUNG TIGRESS LAYAK SECARA MERIT KE PIALA DUNIA REMAJA WANITA 2025

15/12/2024 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) – Skuad hoki wanita remaja negara melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya layak secara merit ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 di Santiago, Chile, tahun depan.

Malaysia menyambar tiket ke negara Amerika Selatan itu selepas membelasah Thailand 6-0 dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam pada kejohanan Piala Remaja Asia 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, hari ini.

Penyerang Nurshamine Azureen Mohammed Badusha mencuri tumpuan menerusi jaringan hatrik dengan kesemuanya berpunca daripada gol padang pada minit kedua, kesembilan dan ke-19 untuk membantu skuad negara mendominasi perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, skuad Young Tigress terus melebarkan kedudukan menerusi dua jaringan padang oleh Azmyra Mia Sofea Azhairy pada minit ke-30 dan ke-53 serta pukulan sudut penalti Thibatharshini James pada minit ke-47.

Lebih manis apabila Nurshamine Azureen dinobatkan pemenang Anugerah Bintang Meningkat Naik dan tonggak negara Zati Alyani Muhammad Zubir dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan tersebut.

Menerusi audio yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), pengurus pasukan Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat bersyukur dengan kejayaan skuad Young Tigress dan akan merancang melakukan siri jelajah di luar negara sebagai persediaan sebelum berjuang di Chile tahun depan.

Katanya, para pemain juga bakal diberi pendedahan beraksi dalam saingan liga tempatan musim depan.

Terdahulu, Young Tigress menutup saingan Kumpulan A di kedudukan ketiga selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan masing-masing ke atas Bangladesh (6-1) dan Thailand (3-0), selain mengalami dua kekalahan apabila tunduk 0-5 kepada India dan 0-4 oleh China.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia terpaksa beraksi dalam penentuan klasifikasi kelima hingga kelapan, dengan melepasi ujian pertama apabila berpesta gol 11-0 ke atas Hong Kong semalam, disusuli keputusan membanggakan berdepan Thailand hari ini.

Kejohanan tersebut menawarkan lima slot ke Chile.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan