BELANJAWAN 2025 > BERITA

MVV 2.0 BANTU NEGERI SEMBILAN JADI NEGERI EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI - AMINUDDIN

17/12/2024 09:04 PM

SEREMBAN, 17 Dis (Bernama) -- Projek Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) bakal menjadi pemangkin bagi mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai negeri dengan ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata MVV 2.0 yang meliputi Seremban dan Port Dickson dengan keluasan kira-kira 378,000 ekar itu berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan inovatif yang sekali gus  mentakrifkan semula cara hidup dan bekerja dalam negeri serta negara maju.

Katanya projek tersebut merupakan pembangunan kawasan perbandaran pertama dalam konurbasi MVV 2.0 bagi mentransformasikan negeri itu sebagai lokasi strategik untuk menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Pembangunan ini dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping menjamin masa depan sosioekonomi negeri.

“Ia dirancang sebagai pemacu strategik kemajuan ekonomi Malaysia selaras dengan dasar jangka panjang Kerajaan Persekutuan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah MVV City di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan MVV 2.0 ialah pemangkin utama bagi menarik pelaburan industri bernilai tinggi dan memperkukuh sektor pelaburan hijau, pembuatan berteknologi tinggi dan logistik yang menjadi teras kepada pertumbuhan negara.

Secara keseluruhannya, Aminuddin berkata sektor tersebut akan membentuk ekosistem yang  dilengkapi dengan ketahanan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata pembangunan itu turut meletakkan Negeri Sembilan sebagai antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan serantau pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata projek MVV City yang berkeluasan 2,382 ekar bagi fasa pertama itu merangkumi beberapa sektor pembangunan termasuk perumahan, komersial, industri dan pusat pendidikan serta inovasi.

“MVV City dijangka menjadi pemangkin pembangunan yang berintegrasikan teknologi pintar, amalan mampan dengan reka bentuk berteraskan komuniti selain boleh diiktiraf sebagai bandar raya bersepadu pertama dalam kawasan MVV 2.0,” katanya.

Jelas beliau, dengan gabungan amalan lestari berserta reka bentuk inovatif, bandar itu bakal menggabungkan infrastruktur canggih dan teknologi pintar untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian.

Katanya MVV City bakal menjadi pusat kepada zon industri berteknologi tinggi, perumahan premium, pusat perniagaan yang dinamik dan institusi pendidikan bertaraf dunia.

"Kerjasama strategik awam dan swasta khususnya Perbadanan NS dan Matrix Concepts Holdings Bhd terbukti berkesan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara serta memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan," katanya.

Pembangunan transformasi itu turut menyediakan 1,000 ekar ruang perindustrian, lebih 15,000 unit kediaman dan 174 ekar lot komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion bagi tempoh 12 tahun.

Aminuddin berkata MVV City menggabungkan kelestarian dan inovasi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan memupuk semangat komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan