KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan surcaj kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) pada 16 sen setiap kilowatt jam (kWj) bagi separuh pertama 2025.
“Untuk enam bulan akan datang ia satu tempoh yang penting berikutan pasaran dunia sedang bersedia dengan perubahan dasar di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump serta ketidaktentuan geopolitik, terutamanya di Timur Tengah, yang dilihat akan terus menyebabkan turun naik harga tenaga sekiranya konflik berterusan,” kata Presiden Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua pengguna di Semenanjung Malaysia apabila ICPT dilaksanakan bermula 1 Jan hingga 30 Jun, 2025.
Pada 29 Jun, PETRA mengumumkan bahawa rebat dua sen/kwj akan dikekalkan kepada sejumlah 6.9 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah 600 kWj, tiada perubahan untuk 1.3 juta pengguna di bawah 1,500 kWj, dan rebat 10 sen/kWj untuk 85,000 pengguna melebihi 1,500 kWj.
Kerajaan turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2027, manakala jadual tarif baharu dicadang untuk dilaksanakan bermula 1 Julai, 2025.
Susulan itu, Soh berkata dialog dengan pihak berkepentingan industri perlu dilakukan sebelum pelaksanaan tarif baharu itu.
“Pengumuman jadual tarif baharu perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pelaksanaan bagi memberi masa yang mencukupi untuk industri membuat pelarasan yang diperlukan dalam operasi mereka,” katanya.
Soh berkata semakan tarif seharusnya dilaksanakan selepas memastikan kadar tarif perindustrian kekal kompetitif dan menarik di rantau ini.
Sementara itu, beliau berkata FMM sebelum ini meminta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori voltan sederhana diberi pertimbangan sewajarnya bagi melayakkan mereka mendapat surcaj yang lebih rendah sama seperti kadar yang diberikan kepada sektor perkhidmatan air pada 3.7 sen setiap kWj.
“Surcaj tinggi yang berterusan menyulitkan PKS untuk terus berdaya saing dalam jangka panjang, kerana mereka juga akan melaraskan pelaksanaan gaji minimum baharu menjelang 1 Feb, 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial