KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan inflasi meningkat pada 2025, dipacu oleh pembaharuan dasar domestik seperti rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan.
Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya tekanan harga global yang dijangka dijejaskan lagi oleh dasar dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berupaya mempengaruhi aliran inflasi pada tahun depan.
"Dengan mempertimbangkan faktor-faktor ini, di samping pertumbuhan domestik mampan dan kecenderungan Rizab Persekutuan AS baru-baru ini untuk menaikkan kadar faedah, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus pada 2025, melaksanakan pendekatan tunggu dan lihat," katanya.
Inflasi keseluruhan Malaysia menyusut kepada 1.8 peratus tahun ke tahun pada November, berkurangan daripada 1.9 peratus pada Oktober di tengah-tengah kos pengangkutan yang menyederhana dan penurunan besar dalam bidang maklumat dan komunikasi.
Menurut HLIB data inflasi pada November lebih rendah berbanding unjuran konsensus 2.1 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus tahun ke tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial