BELANJAWAN 2025 > BERITA

PDRM Laksana Op Lancar Bermula Hari Ini Hingga 2 Jan

23/12/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Jan depan sempena musim perayaan dan cuti akhir tahun persekolahan.

Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata langkah tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan menerusi tindakan penyuraian di laluan utama selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya. 

“JSPT mengambil maklum pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) termasuk lain-lain konsesi lebuh raya serta jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri.

“PLUS dalam kenyataan pada 17 Dis menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya dalam sehari, susulan pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan bermula hari ini hingga esok selain kesempatan cuti persekolahan hingga penghujung 2024,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta mematuhi peraturan lampu isyarat merah.

Mohd Yusri turut menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca serta maklumat aliran lalu lintas sebelum memulakan perjalanan bersama keluarga.

“Pastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik. Bagi majikan dan pemandu kenderaan perdagangan digalakkan merancang pergerakan dengan keutamaan menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri untuk mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama di seluruh negara.

“Pengguna jalan raya juga hendaklah kekal berdisiplin serta sentiasa berhemah dan pihak polis menghargai kerjasama yang diberikan pengguna jalan raya. Untuk penyaluran maklumat berkaitan kesesakan lalu lintas. orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di peringkat daerah dan kontinjen,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan