BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perjanjian JS-SEZ Bawa Limpahan Manfaat Besar Kepada Johor - Menteri Besar

07/01/2025 08:56 PM

JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai hari ini akan membawa limpahan manfaat yang besar terutamanya kepada Johor dan rakyatnya.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perjanjian itu merupakan hasil perbincangan mendalam dan persediaan teliti antara Malaysia dan Singapura yang bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan serta meningkatkan hubungan ekonomi kedua-dua negara.

“Ini adalah satu langkah strategik yang akan memberi impak positif kepada pembangunan negeri Johor dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan pelaburan serta pengukuhan sektor-sektor utama.

“Semoga segala perancangan dan usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan seterusnya memberi limpahan manfaat kepada rakyat Johor serta Malaysia secara keseluruhan. Insya-Allah, kita akan menyaksikan transformasi positif untuk Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata beliau amat berbesar hati dapat menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ yang ditandatangani Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Kuala Lumpur,” katanya.

JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan