BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Tekan Kepentingan Kerangka Industri Mineral Di FMF25

18/01/2025 11:52 AM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Malaysia menekankan kepentingan kerangka industri mineral yang lestari dan keperluan untuk dunia menangani ketegangan geopolitik pada sesi meja bulat peringkat menteri pada “Future Minerals Forum 2025 (FMF25)” di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerangka industri mineral penting kerana mempunyai peranan dalam peralihan tenaga dan kemajuan teknologi manakala menangani ketegangan geopolitik pula dapat memanfaatkan teknologi terbaik pada kos lebih rendah.

“FMF25 menerima lebih 20,000 peserta dan menampilkan 250 ahli panel menerusi lebih 70 sesi.

“Ia menekankan peranan penting serta membincangkan mengenai mineral kritikal, pengurusan sumber mineral, tenaga boleh baharu, perlombongan lestari dan mempromosikan integrasi dalam industri mineral secara serantau serta global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata Malaysia akan mengkaji kesesuaian untuk turut serta dalam pameran FMF akan datang selepas melihat kejayaan dan sambutan luar biasa edisi FMF kali ini serta faedah kepada semua negara yang menyertai.

FMF25 bertemakan ‘Years of Impact’ diadakan selama tiga hari bermula 14 Jan lepas.

Nik Nazmi berkata sepanjang berlangsung FMF25, beliau berpeluang melawat King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST) serta  mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Bandar Alkhorayef dan ditemu bual beberapa agensi media antarabangsa.

“Saya berkongsi mengenai dasar pembangunan mineral negara, persaingan geopolitik dunia, cabaran pembangunan industri mineral, sumbangan industri kepada matlamat peralihan tenaga dan kemajuan teknologi serta keperluan untuk penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri mineral,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan