BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih RM1.5 Juta Bantuan Kebajikan Untuk Limbang, Lawas bagi Januari 2025

20/01/2025 03:20 PM

LIMBANG, 20 Jan (Bernama) -- Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang menyampaikan bantuan bernilai lebih RM1.5 juta untuk Januari tahun ini kepada 3,129 penerima di daerah Limbang dan Lawas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata bantuan itu melibatkan RM1,404,900 bagi semua Bantuan Persekutuan dan RM146,250 Bantuan Negeri.

Berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2025 anjuran pejabat itu di sini hari ini, beliau berkata jumlah pembayaran bantuan di kedua-dua daerah berkenaan mencecah RM16,688,350 bagi tahun lepas.

"Sumbangan seperti itu satu amalan mulia yang memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya dengan konsep semakin banyak anda memberi, semakin banyak anda peroleh semula," katanya.

Dalam majlis itu, seramai 212 penerima bantuan di Limbang menerima sumbangan di bawah Program Sejambak Kasih iaitu inisiatif tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak. 

Sebanyak RM29,280 diperuntukkan untuk program ini di Bahagian Limbang melibatkan RM21,200 dalam bentuk wang tunai dan RM8,080 untuk hamper Tahun Baharu Cina. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan