SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang meneliti secara komprehensif mekanisme untuk membantu menyelesaikan masalah kemerosotan harga belian padi.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dibincangkan secara teliti bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
"Saya sudah kemukakan hal ini dalam mesyuarat exco yang lepas, Datuk Ir Izham Hashim (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor) sedang meneliti keperluan tambahan yang kita boleh buat untuk membantu menyelesaikan isu ini.
"Mungkin ada isu tentang kualiti padi, hasil dan sebagainya. Ini semua akan ditangani secara komprehensif," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Himpunan Wanita Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata antara perkara yang boleh dilakukan kerajaan negeri adalah memberikan bantuan kepada pesawah yang terlibat.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar, dekat sini merungut berikutan harga belian padi kali ini turun kepada RM1,400 satu tan metrik berbanding RM1,650 pada musim sebelum ini.
Penurunan harga padi itu dikatakan menjejaskan pendapatan pesawah, meskipun kualiti pengeluaran padi meningkat dan kurang risiko kepada penyakit.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan menyimpan dana sehingga RM300 juta dalam tempoh 10 tahun melalui Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).
Beliau berkata suntikan dana ke dalam tabung itu akan bermula pada 2026 sebagai kumpulan pertama simpanan.
"Ini sebahagian daripada komitmen besar kita pada masa depan dalam memastikan pembayaran tabung ini yang kita akan mulakan kumpulan pertama pada 2026, dijayakan dengan baik.
"Kita perlukan satu dana yang besar. Selama 10 tahun, kita akan dapat lebih kurang RM200 hingga RM300 juta… komitmen ini kita akan lunaskan mulai 2026,” katanya.
Untuk rekod, TAWAS telah diperkenalkan pada Jun 2008 dan ia merupakan program kebajikan yang berkonsepkan tabungan dengan disasarkan kepada bayi Selangor yang lahir bermula 1 Jan 2008.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial