KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Scanwolf Corporation Bhd menerima notis tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat daripada Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak Mighty Alliance Sdn Bhd (MASB) (pembuat tawaran) untuk memperoleh semua baki saham biasa yang tinggal yang belum dimiliki oleh pembuat tawaran, pembuat tawaran muktamad bersama dan pihak yang bertindak bersama mereka (PAC).
Ia juga melibatkan pengambilalihan saham baharu Scanwolf yang mungkin diterbitkan dan diperuntukkan sebelum tarikh tutup tawaran itu, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pembuat tawaran bersama ialah Seah Ley Hong, Datuk Seri Wong Sze Chien, Datuk Seri Azlan Azmi dan Datuk Seri Andrew Lim Eng Guan.
Scanwolf menjelaskan pembuat tawaran akan membayar 54 sen secara tunai untuk setiap saham biasa; 18 sen untuk setiap tawaran saham pinjaman tidak boleh tebus boleh tukar tidak bercagar (ICULS) dan 24 sen untuk setiap tawaran waran.
Pengambilalihan mandatori itu adalah selepas MASB membeli 34.38 peratus kepentingan ekuiti dalam Scanwolf Corporation pada RM37.7 juta secara tunai.
Menurut notis Maybank Investment Bank kepada Scanwolf, MASB telah membeli 59.912 juta saham biasa dalam Scanwolf daripada Esfinity Sdn Bhd, Seah Ley Hong, Armani Synergy Sdn Bhd dan PEG Capital Sdn Bhd pada RM32.35 juta.
“Seiring dengan pengambilalihan tersebut, pembuat tawaran juga mengambilalih 9,896,800 saham Scanwolf melalui transaksi perniagaan langsung daripada Lim Nyuk Sang @ Freddy Lim.
"Transaksi ini melibatkan kira-kira 4.87 peratus kepentingan ekuiti dalam Scanwolf dengan nilai RM5.34 juta, atau 54 sen setiap saham Scanwolf," kata bank pelaburan tersebut.
Selepas selesai pengambilalihan, pegangan saham langsung MASB dalam Scanwolf akan meningkat daripada sifar kepada 69,808,420 saham, mewakili kira-kira 34.38 peratus kepentingan ekuiti dalam Scanwolf.
Sementara itu, pegangan saham oleh pembuat tawaran, pembuat tawaran muktamad bersama dan PAC akan meningkat daripada 54,647,510 saham mewakili 26.91 kepentingan ekuiti dalam Scanwolf kepada 80,544,310 saham mewakili 39.66 peratus kepentingan ekuiti dalam Scanwolf.
Bank pelaburan itu berkata pembuat tawaran bercadang untuk mengekalkan penyenaraian Scanwolf di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Scanwolf, terlibat dalam pengeluaran produk plastik ekstrusi, jubin vinil dan pembangunan hartanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial