BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Dalam Kedudukan Tepat Kemudi Cabaran Luar Pada 2025 - Wahid Omar

21/01/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia dalam kedudukan tepat untuk mengemudi cabaran luar pada tahun ini susulan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump 2.0 selain mencapai pertumbuhan mampan dengan mengekalkan persekitaran dasar yang stabil serta memanfaatkan sektor pertumbuhan utama.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata kekukuhan ekonomi Malaysia juga didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan strategik dan peranan aktif negara ini dalam kerjasama serantau.

“Kita perlu mengakui bahawa 2025 (prospek ekonomi global) memaparkan landskap kewangan yang dinamik dan kompleks. Kadar faedah lebih tinggi di negara-negara maju serta ketegangan geopolitik yang ketara dijangka terus mempengaruhi aliran dana global.

“Persaingan antara negara-negara kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan China, kekal menjadi penyebab ketidaktentuan, memberi impak terhadap keputusan perdagangan dan pelaburan di serata dunia.

“Selain itu, ketidaktentuan dasar Trump 2.0 juga menjadi peluang namun sama pentingnya adalah reaksi China terhadap Trump 2.0," katanya dalam ucapan perasmiannya di Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata Malaysia secara khusus akan mendapat manfaat daripada ketegangan perdagangan AS-China yang menyebabkan pelaburan swasta diluluskan dan sebenar mencatat angka lebih tinggi.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, beliau berkata pelaburan swasta yang diluluskan Malaysia meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada RM255 bilion daripada RM230 bilion pada 2023 manakala pelaburan swasta sebenar meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada RM242 bilion daripada RM213 bilion dalam tempoh sama. 

"Menerusi permintaan domestik yang berterusan dan tumpuan yang semakin meningkat kepada industri bernilai tinggi, Malaysia sememangnya bersedia untuk menarik pelaburan selanjutnya," katanya.

Selain asas makroekonomi yang kukuh, Abdul Wahid berkata salah satu aspek ekonomi Malaysia yang mungkin tidak ditekankan sewajarnya adalah sistem kewangannya yang mantap.

“Ekonomi Malaysia jelas dikendalikan secara baik oleh sistem perbankan yang kukuh, cair, dengan modal, diurus dan diawasi dengan baik dengan nilai RM3.6 trilion.

“Ini disokong lagi dengan pasaran modal RM4.1 trilion yang pelbagai serta berfungsi dengan baik," katanya.

“Penglibatan Malaysia dalam inisiatif serantau seperti Forum Pasaran Modal ASEAN terus menyokong usaha memperkukuh integrasi kewangan serantau. Ini akan memberi akses lebih besar ke atas modal, memudahcara pelaburan rentas sempadan dan meningkatkan daya tahan pasaran kewangan kita dalam menghadapi ketidaktentuan global.

"Lebih-lebih lagi peningkatan ketara terhadap penekanan ke atas kewangan mampan yang memberi peluang besar bagi Malaysia,” katanya.

Sejajar dengan tumpuan dan desakan global terhadap pelaburan lebih hijau, usaha Malaysa bagi membangunkan produk kewangan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan memainkan peranan penting dalam menarik pelabur domestik dan antarabangsa, katanya.

Abdul Wahid turut menekankan inisiatif seperti pengenalan sukuk hijau dan bon berkaitan kemampanan menekankan komitmen Malaysia untuk menggalakkan amalan pelaburan yang bertanggungjawab.

"Secara ringkas, walaupun persekitaran kewangan global kekal tidak menentu, asas-asas Malaysia yang kukuh, langkah dasar yang proaktif dan komitmen ke atas kewangan mampan meletakkan kita dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang serta menghadapi potensi cabaran.

“Bagi kemajuan masa depan, langkah meningkatkan mudah cair pasaran dan memperluas rangkaian produk-produk kewangan, terutama yang berkaitan dengan kemampanan dan kritikal dalam mengekalkan minat pelabur dan merangsang prestasi pasaran secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan