BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penduduk Lampung Barat, Indonesia Digesa Waspada Ancaman Harimau

23/01/2025 06:54 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Jan (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia di Lampung Barat, Sumatera Selatan menggesa penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran hutan dan habitat hidupan liar agar berwaspada berikutan kematian seorang lelaki tempatan disyaki dibaham harimau.

Zainudin yang berasal dari Purworejo, Jawa Tengah, baru sahaja berpindah ke Kubu Balak, Pekon Kegeringan di Batu Brak selama seminggu sebelum tragedi itu berlaku.

Pasukan penyelamat bersama Pasukan Petugas Mitigasi Konflik Harimau Sumatera menemukan mayat mangsa dalam keadaan tidak sempurna, dengan tangan dan kakinya ditemukan agak jauh dari lokasi serangan pada Selasa.

Pemangku Bupati Lampung Barat Nukman dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah dan menyeru usaha diperhebatkan untuk mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.

“Ini bukan serangan pertama seumpanya di kawasan ini,” katanya sambil menggesa penduduk di mukim Batu Brak dan Suoh supaya lebih berhati-hati bagi mengelak serangan harimau seterusnya.

Nukman menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran habitat hidupan liar khususnya kawasan yang sering dilalui gajah dan harimau agar berwaspada, terutamanya apabila berada berhampiran hutan. Beliau mengingatkan mereka tidak pergi ke ladang seorang diri dan sentiasa berteman untuk keselamatan.

Beliau juga mengingatkan penduduk agar  tidak mengambil tindakan sendiri dengan cuba menangkap haiwan liar yang dilaporkan berkeliaran di kawasan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan menekankan kepentingan untuk mencegah lebih banyak korban.

Kematian Zainudin merupakan kes serangan harimau pertama yang mengakibatkan kematian di Lampung Barat tahun ini, selepas tiga kes kematian serupa pada 2024, termasuk dua insiden pada Februari dan satu pada September.

Polis Suoh telah meletakkan sepanduk tertera perkataan "Awas: Amaran Harimau" manakala Pasukan Petugas Mitigasi Konflik Harimau Sumatera telah menjalankan pemeriksaan jejak dan memasang perangkap kamera pada September.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan