BELANJAWAN 2025 > BERITA

'Si Mata Biru' Permata Pulau Pangkor

31/01/2025 10:51 AM
From: Muhamad Adzhar Tajuddin

Sinonim dengan teksi merah jambu, Pulau Pangkor juga dikenali dengan hasil lautnya, terutama ikan bilis mata biru.

Bagi pelancong domestik khususnya, tidak sah kunjungan ke destinasi peranginan bebas cukai ini jika tidak membawa pulang hasil laut itu, baik sebagai buah tangan ataupun untuk kegunaan sendiri.  

Harganya juga boleh tahan, mencecah RM200 sekilogram bagi yang bergred premium. Justeru, tidak menghairankan jika hidupan laut ini menjadi buruan nelayan di perairan berkenaan.

Berpeluang mengikuti seorang nelayan bilis yang juga peniaga ikan bilis mata biru M. Muthu turun ke laut bagi menangkap “permata” Pulau Pangkor itu baru-baru ini, Bernama menyaksikan sisi jerih para nelayan untuk mendaratkan hasil laut tersebut dan memahami kewajaran harga premium yang dikenakan.   

 

CABARAN PIKAT “SI MATA BIRU”

Muthu, 60, merupakan anak jati Pulau Pangkor dan telah lebih tiga dekad menjadi nelayan ikan bilis.

pic-2

“Ikan bilis mata biru dikenali sedemikian kerana memiliki mata biru, bersaiz kecil, tidak bertulang ataupun perut. Akan tetapi, tidak semua ikan bilis ini bermata biru. Cuma saiznya sahaja sama, iaitu sekitar satu sentimeter,” katanya.

Menurutnya, antara keistimewaan ikan bilis itu berbanding bilis lain ialah tidak perlu dikopek sebelum dimasak.

Memiliki rasa kurang masin serta rangup, ikan bilis ini juga sesuai dijadikan perencah untuk pelbagai jenis masakan lain.

Seawal 4.30 pagi, Bernama menaiki bot bersama-sama Muthu dan 20 orang awak-awak, membelah perairan Pulau Pangkor. Meskipun cuaca tenang, suasana laut yang gelap-gelita sedikit-sebanyak mencetuskan rasa gerun di hati.

Namun, itulah rutin Muthu dan nelayan-nelayan lain hampir saban hari, demi memastikan dapur berasap selain permintaan pelancong dipenuhi. Itupun bergantung pada rezeki.

“Kita turun ke laut setiap hari dari  pukul 5 hingga 8 pagi dan dari 2 petang hingga sekitar 8 malam. Namun, segalanya bergantung pada cuaca. Jika cerah (cuaca) akan ada hasil dibawa pulang,  tetapi jika hujan lebat, kita tidak ke laut kerana kawanan ikan bilis tidak akan timbul di permukaan air.

“Kita juga tak boleh lakukan tangkapan sesuka hati, sebaliknya wajib mematuhi arahan pihak berkuasa, iaitu perlu melebihi jarak satu batu nautika dari pesisir pantai untuk melakukan aktiviti memukat bilis,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.

 

REBUS ATAS KAPAL 

Bercerita lanjut tentang penangkapan ikan bilis itu, Muthu berkata pada zaman sebelum kemudahan teknologi, nelayan bergantung pada pengamatan dan pengalaman mereka untuk mencari “lubuk” hasil laut, termasuk ikan bilis.

pic-3

Namun kini teknologi sonar digunakan bagi tujuan itu dan umumnya mereka tidak menghadapi masalah mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan kawanan ikan bilis. 

Katanya penggunaan sistem itu juga menjimatkan masa selain memudahkan dirinya selaku tekong, memberi arahan kepada 20 awak-awak yang bekerja dengannya melabuhkan pukat jerut bilis.

“Bila kita pakai sistem sonar ini, masa bukan sahaja dapat dijimatkan malah kita boleh turunkan pukat lebih dari tujuh atau lapan kali dalam satu sesi (pagi atau petang) tangkapan. Bagi saya cara ini memudahkan dan kuranglah beban kita untuk mencari lubuk,” katanya.

Menurut Muthu, lazimnya beliau mampu menaikkan 400 hingga 900 kilogram (kg) ikan bilis pelbagai saiz setiap hari.

“Selepas dinaikkan, ikan bilis ini kita terus rebus dalam tempoh kurang daripada dua minit. Kemudia kita tuskan. Proses ini bagi mengurangkan rasa masin ikan bilis tersebut.

pic-4

“Setahu saya, teknik merebus ini hanya diamalkan oleh nelayan ikan bilis di Pangkor sahaja, tidak dibuat oleh nelayan di tempat lain seperti Kedah dan Sabah yang turut mengeluarkan ikan bilis mata biru,” jelasnya.

Sambung beliau lagi, selepas tiba di jeti pendaratan, ikan bilis terbabit akan dikeringkan di atas pelantar khas dan proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 10 jam.

“Selepas proses pengeringan, ikan bilis ini akan digredkan mengikut saiz menerusi satu mesin khas dan kemudiannya akan dibungkus dalam pek 25 kg sebelum dijual kepada pemborong dan peraih pada harga sekitar RM750 hingga RM2,000 satu pek, bergantung pada gred,” katanya.

 

RASA SEKALI PASTI TERPIKAT 

Sementara itu, peniaga ikan bilis Oh Teck Soon, 50, berkata ikan bilis mata biru di Pulau Pangkor sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada para pelancong yang membanjiri pulau tersebut, terutama ketika musim cuti perayaan atau sekolah.

“Biarpun ada yang mendakwa (rasa) ikan bilis mata biru di negeri lain seperti Kedah dan Sabah tiada beza dengan Pulau Pangkor, rata-rata mereka akan berubah fikiran setelah merasa sendiri ikan bilis mata biru dari pulau ini,” katanya.

pic-5

Berkongsi tentang keistimewaan ikan bilis mata biru, Oh berkata lazimnya kualiti ikan bilis biasa mudah terjejas, seperti senang hancur dan berdebu jika terdedah kepada persekitaran dalam tempoh yang lama.

Bagaimanapun, katanya keadaan itu tidak berlaku pada ikan bilis mata biru Pulau Pangkor yang kualiti serta kesegarannya kekal seperti ketika tiba di kedai.

“Yang akan bertukar cuma warnanya kepada kekuning-kuningan, bergantung pada suhu dan cuaca ketika ia terdedah.  Selain daripada itu tiada apa yang berubah. Bahkan rasanya juga masih sama,” kata Oh.

Anak jati Pangkor ini yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 28 tahun lalu, berkata pelbagai variasi ikan bilis dijual di kedainya namun antara yang paling popular ialah jenis yang telah dikopek.

“Selain ikan bilis mata biru, ikan bilis yang telah dikopek juga antara yang popular serta sering dibeli oleh pelanggan kerana ia memudahkan mereka (pelanggan) apabila mahu memasak,” katanya.

Tentang harga pula, beliau berkata bergantung pada gred dan kualiti, umumnya harga bagi 100 gram ikan bilis ialah RM5 hingga RM20. 

“Harga yang diletakkan banyak bergantung pada saiz dan kualitinya. Jika di Pangkor, lebih kecil saiz ikan bilis berkenaan maka harganya juga akan lebih mahal berbanding saiz yang lebih besar,” katanya.

Menurut Oh, ikan bilis mata biru Pulau Pangkor bukan hanya popular dalam kalangan pelancong domestik tetapi turut disukai oleh pengunjung asing dari Amerika Syarikat, Jerman, Arab Saudi dan Afrika Selatan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan