BELANJAWAN 2025 > BERITA

Skuad Memanah Para Kejar Ranking Dunia, Momentum Di Bangkok

05/02/2025 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Meningkatkan mata ranking dunia serta memperbaiki prestasi menjadi misi utama skuad memanah para kebangsaan yang bakal memulakan musim 2025 di pertandingan Piala Para Asia, bermula esok di Bangkok.

Jurulatih skuad memanah para kebangsaan, Marzuki Zakaria, berkata hanya pemanah senior dipilih untuk menyertai kejohanan ranking dunia itu bagi mengekalkan momentum atlet.

Skuad negara terdiri daripada pemanah compound lelaki Wiro Julian dan G. Daneshen, Nur Jannaton Abdul Jalil (compound wanita) serta Nurfaizal Hamzah (recurve lelaki), manakala juara dunia recurve lelaki 2019, S. Suresh, tidak beraksi dalam kejohanan ini kerana isterinya baru sahaja melahirkan cahaya mata.

“Tahun ini tiada banyak kejohanan, jadi kita tidak mahu pemanah hilang momentum dan ranking jika berehat lama tanpa pertandingan luar negara. Ranking yang lebih tinggi sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan mereka ketika pertandingan, walaupun mana-mana pemanah berpeluang menaiki podium di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu mereka mengekalkan momentum di samping memperbaiki ranking dan prestasi mereka. Saya juga mahu lihat sejauh mana Wiro dan Daneshen boleh melangkah, kalau boleh, saya mahu mereka mara sehingga ke final,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan ranking yang dipaparkan di laman sesawang World Archery, Daneshen dan Nur Jannaton masing-masing menduduki tangga ke-22 dan ke-23 dunia, manakala Suresh berada di kedudukan ke-17.

Nurfaizal dan Wiro pula masing-masing berada di tempat ke-45 bagi kategori recurve dan compound lelaki.

Sementara itu, Marzuki memaklumkan skuad pelapis kebangsaan yang tidak beraksi di Bangkok akan diuji dalam Kejohanan Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Perak, dari 7 hingga 13 Feb ini.

Beliau berkata lima pemanah dalam skuad pelapis ketika ini dipilih berdasarkan prestasi mereka di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak pada September lepas dan diberikan sasaran untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat dari Sukan Para ASEAN (APG) di Thailand pada Januari tahun depan.

“Antara syarat utama untuk mereka dinaikkan ke skuad utama adalah pencapaian pingat di APG. Kebanyakannya adalah atlet baharu dan meraih pingat di APG bukan tugas mudah, namun kami mahu mereka mencabar diri untuk mencapai misi ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan