BELANJAWAN 2025 > BERITA

Qatar Lihat "Suasana Positif" Untuk Rundingan Gencatan Senjata Gaza Fasa Kedua

18/02/2025 09:47 PM

ANKARA, 18 Feb (Bernama-Anadolu) -- Qatar pada Selasa melaporkan adanya "suasana positif" untuk memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Ajansı (AA).

"Terdapat suasana positif yang mungkin mendorong permulaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, dalam sidang media di Doha.

Bagaimanapun, beliau berkata rundingan itu masih belum bermula dan menyatakan harapan agar ia dapat dimulakan "dalam masa terdekat."

Ansari turut menekankan bahawa aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah “tidak mencukupi” dan menegaskan bahawa ia “tidak boleh dijadikan sebagai alat tawar-menawar.”

Menteri Luar Israel Gideon Sa’ar berkata pada awal Selasa bahawa rundingan fasa kedua perjanjian Gaza akan bermula minggu ini.

Menurut akhbar The Jerusalem Post, Sa’ar menyatakan bahawa Israel akan menuntut "penyahtenteraan sepenuhnya" Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan Gaza telah berkuat kuasa sejak 19 Jan, menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan hampir 48,300 rakyat Palestin dan memusnahkan wilayah itu.

Di bawah perjanjian itu, 19 tahanan Israel dan lima pekerja Thailand telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan 1,135 tahanan Palestin.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan