BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perlis Hasrat Jadikan Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Acara Tahunan

19/02/2025 12:00 PM

KANGAR, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Perlis berhasrat menjadikan Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis yang julung kalinya diadakan tahun ini sebagai acara tahunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata fiesta sehari yang melibatkan pembabitaan 112 peserta dari 42 negara termasuk Malaysia itu berlangsung dengan cukup meriah.

“Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis 2025 ini menarik lebih 2,000 pengunjung. Fiesta ini diadakan bersempena sambutan Jubli Perak iaitu sempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. 

“Ia merupakan sebahagian daripada 56 acara yang dirancang oleh kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun ini di Perlis,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian fiesta itu yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kuala Perlis dekat sini semalam.

Turut berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Antara negara yang menyertai fiesta itu ialah Argentina, Australia, Austria, Bulgaria, Brazil, China, Kanada, England, Jerman, Jepun, Korea, Itali, Indonesia, Switzerland, Poland, Scotland, Filipina, Thailand, Turkiye, Vietnam dan Taiwan.

Abu Bakar berkata fiesta itu turut menampilkan layang-layang bercahaya pada waktu malam dan menjadi sebahagian daripada siri jelajah Pasir Gudang, Johor ke Satun, Thailand dengan kerjasama Persatuan Pemain Layang-Layang Moden dan Tradisi Perlis.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemain Layang-Layang Moden dan Tradisi Perlis Rodzake Namis mengharapkan penganjuran fiesta itu pada masa hadapan dapat diselaraskan dengan cuti persekolahan dan musim angin timur bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Layang-layang yang dipamerkan kali ini merangkumi pelbagai jenis dan bentuk termasuk wau moden. Walaupun keadaan angin berubah-ubah, peserta tetap bersemangat menerbangkan layang-layang mereka," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan negeri dapat memberikan lebih banyak sokongan kepada persatuan itu bagi memastikan fiesta berkenaan terus berkembang dan menjadi tarikan pelancongan utama negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan