BELANJAWAN 2025 > BERITA

MARA Sasar RM50 Juta Kutipan Wakaf MARA MADANI - Asyraf Wajdi

20/02/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan kutipan dana Wakaf MARA MADANI berjumlah RM50 juta menjelang hari pelancarannya pada 15 Mac ini.

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata wakaf berkenaan yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan digunakan dalam membantu serta memperkasakan agenda Bumiputera terutamanya aspek pendidikan dan keusahawanan menerusi sumbangan diberikan oleh alumni MARA.

"Kalau kita tengok alumni MRSM sahaja lebih daripada 220,000 orang. Alumni yang mendapat tajaan dan juga manfaat daripada penajaan-penajaan biasiswa MARA tidak kurang daripada 150,000 orang.

"Dan kebanyakan daripada alumni-alumni ini sudah pun menjadi orang yang berjaya. Jadi, hasratnya adalah supaya mereka juga boleh memberikan sumbangan kepada kelestarian institusi MARA untuk membantu agenda Melayu dan Bumiputera," katanya selepas Majlis Makan Tengah Hari Media Bersama Pengerusi MARA.

Terdahulu, Asyraf Wajdi ketika berucap pada majlis itu berkata peranan MARA sebagai mutawalli (pengurus) telah diluluskan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pihaknya akan pergi ke setiap negeri bagi mendapatkan kelulusan bagi tujuan yang sama.

Pada 2 Mac lepas, kerajaan bersetuju menubuhkan Wakaf MARA MADANI dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata pada majlis pelancaran Wakaf MARA MADANI itu turut akan berlangsung majlis sambutan ulang tahun MARA ke-59 dan pembentangan laporan setahun prestasi berkaitan pencapaian Kongres Ekonomi Bumiputera.

"Maksudnya akan ada tiga program dalam satu acara. Acara yang awalnya adalah sebagai laporan kad prestasi berkenaan pencapaian setahun segala resolusi yang telah pun diputuskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.

"Memberikan mesej dan isyarat bahawa apa juga agenda yang telah pun kita bincangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputra kita ambil serius kerana sekretariat yang memantau agenda ini terdiri daripada Kementerian Ekonomi dan MARA sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata trend penolakan kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kini semakin berkurangan sekali gus menunjukkan kian ramai pelajar berminat untuk menimba ilmu di institusi pendidikan itu.

Beliau berkata, hal ini juga membuktikan bahawa kepercayaaan serta keyakinan dalam kalangan pelajar kepada sistem MRSM semakin meningkat.

“(Sekarang) Ramai nak masuk (MRSM). Dulu kita tawarkan kemasukan MRSM dan 30 hingga 40 peratus tolak dan kita dapat isi dengan mereka yang menanti … tetapi setakat semalam setiap MRSM sikit sahaja tak hadir seperti saya terjah MRSM Sungai Besar semalam, hanya 20 sahaja tidak hadir (untuk pendaftaran kemasukan).

“Mungkin ada juga kesan saya terjah MRSM ini. Ada positifnya (tindakan terjah itu). Apa-apa pun kita akan mengekalkan kualiti pendidikan dan fasiliti pendidikan di semua MRSM,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan