BELANJAWAN 2025 > BERITA

Alumni MyCorps Disaran Berkhidmat Dalam Perkhidmatan Awam

05/03/2025 08:53 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Alumni Program Kepimpinan Kesukarelawanan Belia Malaysia (MyCorps) disaran berkhidmat dengan perkhidmatan awam, mengambil kira komitmen tinggi diberikan sepanjang terlibat dalam misi MyCorps, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata kesemua peserta MyCorps mempunyai semangat bekerja yang kuat dan ikhlas iaitu sifat diperlukan dalam perkhidmatan awam seterusnya dapat memberi impak positif kepada negara.

“Hasrat saya untuk melihat lebih ramai lagi (alumni MyCorps) masuk dalam perkhidmatan awam. Ada sukarelawan mengatakan sebulan (tempoh misi) tidak cukup. Sebenarnya kalau diberi 12 bulan pun tidak akan cukup kerana banyak kerja untuk dibuat.

“Tetapi kalau sukarelawan ini menjadi cikgu sekolah (atau) jurutera di Jabatan Kerja Raya, saya percaya kita akan mempunyai semangat yang betul dalam perkhidmatan awam. Bukan dipaksa, tetapi betul-betul berkhidmat dan ini sangat penting," katanya ketika berucap pada Program Ignition Ceremony MyCorps Misi 9@ Borneo 2.0 di sini hari ini.

MyCorps merupakan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menyasarkan untuk melahirkan pemimpin sukarelawan belia Malaysia yang profesional, berkualiti dan berkemahiran serta memiliki nilai kesukarelaan tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Selain itu,  Hannah berkata KBS juga berhasrat menganjurkan MyCorps selama empat kali setahun iaitu tiga bulan sekali, berbanding sekali setahun buat masa ini susulan permintaan tinggi daripada golongan belia walaupun tempat terhad.

“Saya percaya kita boleh memperkasakan program MyCorps empat kali tahun ini dan melahirkan lebih ramai belia mempunyai pemahaman tentang komuniti dan cabaran dihadapi golongan itu.

“Jadi KBS menjemput pihak berminat untuk menaja program ini kerana kami komited memperkasakan golongan belia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Alumni MyCorps Syed Salleh Syed Sulaiman berkata beliau menyambut baik saranan penglibatan alumni dalam perkhidmatan awam dan pada masa sama akan memperbanyakkan program berkaitan bagi menarik minat mereka untuk berkhidmat dengan kerajaan.

“Ada alumni yang merupakan penjawat awam, ada cikgu, doktor dan sebagainya. Cuma ada juga alumni yang masih mencari sektor mana boleh diceburi.

“Jadi apabila mereka menyertai program MyCorps, mereka berpeluang melihat nilai murni berkhidmat kepada komuniti dan setelah keluar daripada program, mereka lebih berminat untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan