BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tujuh Perubahan, Lantikan Baharu Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam - KSN

07/03/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan tujuh perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

Beliau berkata perubahan penempatan berkuat kuasa 10 Mac, melibatkan lima Ketua Setiausaha Kementerian dan masing-masing seorang Ketua Pengarah serta Ketua Setiausaha Sulit.

Perubahan itu menyaksikan Datuk Dr Aminuddin Hassim dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

Turut terlibat Datuk Dr Anesee Ibrahim sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi manakala Datuk Shaharuddin Abu Sohot dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Selain itu, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dilantik Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Datuk Shahrol Anuwar Sarman sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, JPM.

“Perubahan ini dilaksanakan selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam untuk memperkasa anjakan nilai tugasan penjawat awam khususnya pegawai kanan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan