Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.64 mata atau 0.75 peratus kepada 1,547.27 daripada paras penutup 1,558.91 pada Khamis.
Petunjuk pasaran dibuka rendah turun 3.16 mata kepada 1,555.75 dan bergerak antara paras 1,543.21 dan 1,556.46 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 565 berbanding 331, manakala 488 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 15 digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.43 bilion daripada 2.98 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Khamis.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan pasaran serantau mencatatkan penurunan apabila dasar tarif Amerika Syarikat (AS) telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran dan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi.
“Sementara itu, pakar strategi Wall Street sedang membincangkan sama ada kemerosotan ekuiti yang dihadapi sekarang boleh mendorong pentadbiran baharu AS untuk mengubah pendekatan tarifnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ketidaktentuan makroekonomi yang tinggi menyebabkan para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dalam pasaran domestik.
“Langkah AS mengenakan tarif telah menyebabkan pergolakan pasaran global dan penangguhan berikutnya hanya meningkatkan lagi turun naik pasaran serta kebimbangan pelabur terhadap hubungan perdagangan dan dasar ekonomi pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI ditutup rendah hari ini meneruskan aliran menurunnya dengan sektor telekomunikasi meneraju penurunan.
Beliau berkata pasaran tempatan terus berada dalam tekanan kerana kekurangan pemangkin baharu dan ketidaktentuan luaran yang berterusan.
“Walaupun keputusan AS untuk menangguhkan tarif ke atas import dari Mexico dan Kanada pada mulanya memberikan sedikit kelegaan, namun langkah negara itu menggandakan levi 10 peratus ke atas eksport China telah menjejaskan sentimen pasaran.
“Ini menyebabkan majoriti pasaran Asia mencatatkan prestasi lemah termasuk Malaysia, apabila pelabur menilai semula impak daripada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS bagi Februari 2025, yang dijadualkan dikeluarkan lewat hari ini turut menyebabkan para pelabur semakin berhati-hati.
"Laporan pekerjaan Automatic Data Processing pada Rabu menunjukkan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan sekali gus meningkatkan kebimbangan laporan NFP yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.64, Public Bank susut empat sen kepada RM4.55, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.74, CIMB menambah 2.0 sen kepada RM7.52, manakala IHH Healthcare berkurangan 10 sen kepada RM7.26.
Dalam kalangan saham aktif, MyEG Services susut tujuh sen kepada 90 sen, NationGate turun sembilan sen kepada RM1.33, NexG naik setengah sen kepada 27 sen dan Oppstar meningkat enam sen kepada 53.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 82.54 mata kepada 11,520.80, Indeks FBMT 100 turun 84.75 mata kepada 11,295.55, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 119.98 mata kepada 11,179.95, Indeks FBM ACE berkurangan 9.60 mata kepada 4,587.79 dan Indeks FBM 70 merosot 121.95 mata kepada 16,342.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.79 mata kepada 19,066.68 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.42 mata kepada 155.23, Indeks Tenaga berkurangan 8.56 mata kepada 715.04, dan Indeks Perladangan turun 86.78 mata kepada 7,480.08.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.37 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 1.63 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran turun kepada 747.40 juta unit bernilai RM100.78 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM122.82 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 326.62 juta unit bernilai RM116.21 juta daripada 313.62 juta unit bernilai RM111.93 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.29 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (205.47 juta), pembinaan (98.93 juta), teknologi (322.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (93.73 juta), hartanah (123.37 juta), perladangan (2.37 juta), REITs (15.44 juta), dana tertutup (22,500), tenaga (125.93 juta), penjagaan kesihatan (67.18 juta), telekomunikasi dan media (29.30 juta), pengangkutan dan logistik (26.41 juta), utiliti (41.04 juta), dan amanah perniagaan (6,700).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial