BATU PAHAT, 8 Mac (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor kini tidak hanya berperanan sebagai pusat sebaran maklumat serta merapatkan jurang digital penduduk kawasan bandar dan luar bandar, tetapi diperluaskan dengan fasiliti kesihatan asas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon, berkata NADI yang beroperasi di kawasan luar bandar akan memudahkan penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan asas secara percuma, termasuk tekanan darah, paras gula, dan indeks jisim badan (BMI).
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, inisiatif ini beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang, kecuali pada cuti umum. Penduduk sekitar NADI juga berpeluang menyertai sesi webinar mengenai isu kesihatan terkini dengan capaian internet berkelajuan tinggi.
“Terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melalui NADI kerana menyediakan kaunter saringan kesihatan dan ia inisiatif yang cukup baik..ia penting untuk orang kampung (penduduk luar bandar) untuk mengetahui tahap kesihatan mereka yang mungkin mereka terlepas pandang atau jauh untuk ke fasiliti kesihatan.
“Selain itu, NADI ini juga berperanan untuk membantu menyebarkan apa juga maklumat terkini daripada kami (kerajaan negeri) kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian NADI Kampung Parit Selamat, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kewujudan NADI Kampung Parit Selamat dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di Kampung Parit Selamat, Kampung Parit Awang, Kampung Parit Serani, dan Kampung Parit Tengah.
“NADI di sini turut dilengkapi dengan modul pembelajaran, latihan kelas berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta program sedia ada NADI sebelum ini yang berteraskan keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan,” katanya.
NADI Kampung Parit Selamat merupakan sebahagian daripada 11 pusat NADI baharu yang diwujudkan oleh MCMC di Johor tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 101 pusat yang beroperasi.
Terdahulu, platform NADI yang turut beroperasi di Semporna, Sabah, telah membolehkan penduduk setempat menjalani saringan kesihatan melalui projek telekesihatan di kiosk khas yang dibuka setiap minggu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial