BELANJAWAN 2025 > BERITA

JDT Atasi Selangor 3-0, Rangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah Buat Kali Ke-10

08/08/2025 11:26 PM

ISKANDAR PUTERI, 8 Ogos (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul dalam kelas tersendiri selepas mempertahankan gelaran juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelapan berturut-turut dengan menewaskan Selangor FC 3-0 pada perlawanan Sumbangsih di sini, malam ini.

Kemenangan dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu turut memberi tiga mata buat JDT sekali gus membolehkan skuad Harimau Selatan meraih permulaan sempurna dalam misi menjuarai Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.

Pada perlawanan kompetitif sulung JDT di bawah era pengendali baharu dari Sepanyol, Xisco Munoz,  penyerang baharu Jairo Da Silva dari Brazil, pemain pertahanan Eddy Israfilov dan pemain sayap lincah Arif Aiman Mohd Hanapi masing-masing mencipta nama sebagai penjaring pada setiap babak.

Da Silva, bekas penyerang kelab Cyprus, Pafos FC, menghukum kelalaian benteng Selangor yang dibimbing Katsuhito Kinoshi seawal minit pertama apabila pantas mencari ruang untuk menyudahkan hantaran lintang Jonathan Silva dari sebelah kiri sekali gus meletakkan JDT di depan 1-0.

Selangor yang jarang mencipta gerakan berbahaya mensia-siakan peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-42 apabila penyerang Chrigor Moraes gagal menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dalam situasi satu lawan satu.

Bersambung babak kedua, penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, beraksi cemerlang apabila menafikan dua percubaan jarak dekat JDT masing-masing oleh Joao Figueiredo pada minit ke-51 dan penyerang gantian Bergson Da Silva pada minit ke-62.

Namun, beliau tetap tewas buat kali kedua apabila Israfilov melonjak tinggi menanduk masuk bola sepakan penjuru Arif Aiman untuk gol kedua JDT pada minit ke-64 yang menceriakan kira-kira 32,777 penonton di stadium.

Arif Aiman melengkapkan kemenangan bergaya JDT dengan gol ketiga selepas beliau yang tidak dikawal rapi membuat larian ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan Kalamullah pada minit ke-73.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dan cukup untuk membolehkan JDT mendakap Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ke-10 sejak musim 2015.

Pertembungan JDT dan Selangor malam ini juga dianggap sebagai aksi “dendam tertangguh” selepas pertemuan edisi lepas terpaksa dibatalkan susulan penarikan diri Selangor pada saat akhir.

Ketika itu, Selangor terpaksa menarik diri susulan insiden jenayah yang menimpa beberapa pemain mereka, termasuk insiden serangan asid ke atas Faisal Halim pada 5 Mei tahun lepas.

Susulan itu, JDT diisytiharkan menang 3-0 secara “menang percuma” dan memperoleh tiga mata Liga Super.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan