KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Langkah Malaysia untuk memperkukuh kerjasama nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian 123 mencerminkan pengiktirafannya terhadap kepentingan bekerjasama dengan rakan kongsi yang mengutamakan keselamatan dan teknologi termaju, kata Duta AS ke Malaysia Edgard D. Kagan.
Kagan berkata perkembangan itu, yang diumumkan semasa lawatan Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Kuala Lumpur pada Julai, merupakan langkah positif ke arah memeterai kerjasama nuklear secara aman melalui rangka kerja perundangan yang diperlukan di bawah undang-undang AS.
Malaysia dan AS, masing-masing diwakili oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Rubio, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama nuklear awam pada 10 Julai.
Semasa majlis penandatanganan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, Mohamad berkata Malaysia bersedia untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian 123.
“Ia adalah satu langkah yang sangat positif yang menunjukkan pengiktirafan Malaysia bahawa teknologi AS kekal canggih, dan apabila menyentuh tentang nuklear, usaha untuk mempunyai rakan kongsi yang boleh dipercayai serta mempunyai komitmen terhadap keselamatan adalah sangat penting.
“Ia adalah langkah yang sangat signifikan. Kami berpendapat Malaysia adalah rakan kongsi yang baik, dan selepas ini kita perlu berunding. Ia juga perlu disahkan,” kata Kagan kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Perjanjian 123, yang dinamakan sempena Seksyen 123 Akta Tenaga Atom AS, ialah rangka kerja perundangan penting yang diperlukan oleh AS sebelum sebarang pemindahan bahan, teknologi atau peralatan nuklear untuk tujuan aman dapat dilaksanakan.
Perjanjian itu mesti melalui proses rundingan dan ratifikasi bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan pengawalan senjata nuklear antarabangsa.
Mengenai sama ada satu garis masa telah ditetapkan untuk memuktamadkan perjanjian itu, Kagan berkata langkah seterusnya akan bergantung sepenuhnya kepada perancangan tenaga dalaman Malaysia.
“Malaysia perlu membuat keputusan sendiri mengenai kadar kemajuan yang ingin diambilnya,” tambah beliau.
“Kami percaya adalah demi kepentingan kedua-dua negara untuk mempunyai Perjanjian 123. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia, tetapi pada akhirnya, ini akan dilakukan mengikut kadar yang ditetapkan Malaysia dan selaras dengan keputusan Malaysia mengenai apa yang diinginkannya bagi campuran tenaganya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial