KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan kawasan tanaman koko dapat diperluaskan kepada 10,000 hektar di seluruh negara menjelang 2030 berbanding 5,985 hektar masa ini bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap koko berkualiti tinggi.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan menjadi inisiatif strategik KPK serta Lembaga Koko Malaysia bagi merancakkan peluasan kawasan tanaman koko melalui sektor perladangan.
“Esok misalnya, saya akan menyertai Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Tawau (Sabah)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai langkah konkrit KPK bagi menggalakkan penanaman koko di Sabah.
Menjelaskan selanjutnya, Chan berkata berdasarkan data 2024, purata harga biji koko kering telah melonjak sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.
Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai dasar KPK mengeluarkan produk berasaskan koko seperti coklat, beliau berkata kementerian telah bertindak menjenamakan dan mempromosikan produk premium koko tempatan sebagai koko asal tunggal dan koko berperisa unik.
“Kaedah sedemikian membolehkan pengusaha koko mempromosikan keunikan rasa koko setempat yang mampu menjadi tarikan kepada pembuat coklat tempatan dan antarabangsa," katanya.
Pada masa sama, Chan berkata terdapat pelbagai bantuan yang telah dan sedang diberikan oleh KPK bersama Lembaga Koko Malaysia bagi membantu petani kekal mengusahakan tanaman koko mengikut setiap kes terbabit.
Ini termasuk baja, racun perosak dan mengawal penyakit untuk meminimumkan kehilangan hasil akibat serangan perosak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial