BELANJAWAN 2025 > BERITA

Persatuan Wartawan Sibu Umum Dua Inisiatif Kebajikan Ahli

12/08/2025 10:41 AM

SIBU, 12 Ogos (Bernama) -- Persatuan Wartawan Sibu (SJA) mengumumkan dua inisiatif baharu untuk kebajikan ahli, termasuk baucar gajet bernilai RM250 dan dana RM200 bagi pembelian tiket penerbangan sebagai penghargaan terhadap sumbangan petugas media di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi SJA Mohamad Alhadi Shamsawi berkata baucar gajet PC Image bernilai RM250 akan diberikan pada 2026 kepada semua ahli SJA bagi membantu mereka mendapatkan peralatan baharu untuk tugasan harian seperti fon telinga, powerbank (bank kuasa) dan gajet lain.

“Inisiatif ini diambil kerana banyak wartawan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menaik taraf gajet bagi bekerja,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam HAWANA SJA Sibu 2025 yang dihadiri pengamal media, rakan strategik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini malam tadi.

Beliau berkata dana RM200 akan diberikan sebagai pembiayaan tambahan kepada ahli SJA yang membeli tiket penerbangan di bawah inisiatif Kementerian Komunikasi dengan kerjasama AirAsia yang menawarkan diskaun 50 peratus bagi penerbangan ke destinasi ASEAN.

“Sekiranya tiket berharga RM400 selepas diskaun, ahli boleh menuntut pulangan tunai RM200 daripada SJA,” katanya.

Dalam ucapannya, Alhadi turut memaklumkan pemberian angpau RM100 kepada ahli yang menyambut hari lahir antara Julai hingga Disember tahun ini, susulan pemberian serupa kepada ahli yang lahir antara Januari hingga Jun semasa sambutan Gawai yang lepas. 

Selain itu, SJA buat kali pertama memperkenalkan Anugerah Tokoh Wartawan SJA 2025 yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,500, sebagai tanda penghargaan kepada wartawan berpengalaman yang banyak berjasa dalam industri media.

Penerima anugerah pada majlis itu ialah bekas Pewarta Daerah Bernama Sibu, Edward Subeng Stephen yang telah menabur bakti di dalam bidang kewartawanan selama lebih empat dekad.

Alhadi berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kepimpinan SJA memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang syarikat atau organisasi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan