KUALA NERUS, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan kedua Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Badrul Afzan berkata kemenangan 3-0 ke atas Penang FC tempoh hari perlu dijadikan suntikan motivasi untuk skuad Penyu mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Pada masa sama, beliau tetap mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dan mengambil mudah cabaran pihak lawan.
"Alhamdulillah kita berjaya mengutip tiga mata berharga pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Bandaraya Ahad lepas.
"Saya optimis TFC dapat meneruskan rentak kecemerlangan pada perlawanan kedua, lebih-lebih lagi kita beraksi di hadapan penyokong sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan berkata semua pemain dalam keadaan baik dan bebas kecederaan kecuali penyerang import Junior Ngong Sam yang masih dalam proses pemulihan.
"Sam alami kecederaan ringan baru-baru ini, tetapi kita tengoklah selepas selesai latihan terakhir hari ini sama ada boleh bermain atau tidak," katanya.
Sementara itu, kapten pasukan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni mengingatkan rakan sepasukan supaya berhati-hati dengan barisan serangan PDRM FC.
"Kita tidak boleh mengambil mudah ancaman PDRM FC kerana mereka mempunyai corak permainan tersendiri.
"Saya harap rakan-rakan dapat kekalkan fokus dan disiplin kerana ia faktor penting kemenangan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial