BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA 2025: Muhammad Azeem Antara Aset Terbaik Skuad Olahraga

12/08/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi masih lagi dianggap sebagai aset terbaik skuad olahraga pada Sukan SEA 2025 di Thailand, kata ketua jurulatih kebangsaan Manshahar Abd Jalil.

Beliau berkata atlet kelahiran Perak itu disenaraikan dalam tiga acara iaitu 100 meter (m), 200m dan 4x100m, namun keputusan muktamad mengenai penyertaannya hanya akan dibuat selepas perbincangan antara Muhammad Azeem bersama jurulatihnya di Amerika Syarikat. 

“Sudah pasti dia antara aset yang terbaik. Pandangan saya kalau Muhammad Azeem dapat sertai Sukan SEA di Thailand, itu yang menggembirakan.

“… tetapi kita tidak boleh halang sebab dia juga ada komitmen bersama dan perjanjian kontrak bersama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) atau Universiti Auburn,” katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan SEA 2025 di Wisma OCM di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan pelan alternatif sekiranya Muhammad Azeem tidak dapat menyertai temasya itu, Manshahar berkata peluang masih terbuka, terutama menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai ‘pengganti’ ialah seorang lagi pelumba negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

“Ya, senarai kuartet pun belum ditentukan. Bergantung pada Terbuka Malaysia nanti, siapakah mungkin yang empat atau lima orang terbaik di peringkat ini. Kita ada Pelan A dan Pelan B, namun setakat ini Muhammad Azeem tidak sertai Terbuka Malaysia,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai pelari 400m lelaki negara Umar Osman yang kurang konsisten pada kejohanan sebelum ini, Manshahar melihat Terbuka Malaysia sebagai platform terbaik untuk menguji kemampuan dan prestasinya. 

Secara keseluruhan, beliau memaklumkan kategori A melibatkan 35 atlet, manakala kategori B terdiri daripada 17 atlet, kesemuanya telah diluluskan oleh ahli jawatankuasa untuk ke Sukan SEA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan