BELANJAWAN 2025 > BERITA

PPZ-MAIWP Terima Zakat Perniagaan 17 Syarikat Berjumlah RM1.06 Juta

12/08/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 17 syarikat bagi haul 2025 yang keseluruhannya berjumlah RM1.06 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata zakat perniagaan merupakan penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan dengan trend peningkatan setiap tahun.

Beliau berkata tanpa komitmen syarikat yang terlibat, lebih 34,000 ketua keluarga asnaf mungkin tidak menerima bantuan bulanan mereka.

“Zakat yang dibayar oleh badan perniagaan bukan sahaja mencerminkan rasa tanggungjawab dalam menyucikan harta, bahkan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera dan inklusif.

“Setiap ringgit zakat adalah pemangkin utama kepada pelbagai inisiatif bantuan yang diuruskan oleh pihak MAIWP termasuk daripada penyediaan biasiswa pendidikan, sokongan modal usahawan kecil serta bantuan bulanan untuk ibu tunggal dan warga emas,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pembayar Zakat Perniagaan 2025 di sini.

Mohd Na’im berkata syarikat turut diseru supaya menggalakkan kakitangan mereka menunaikan zakat pendapatan melalui potongan gaji untuk menjana keberkatan dalam rezeki, selain boleh menerima rebat cukai pendapatan 100 peratus.

"Bagi syarikat yang mencapai 80 peratus penyertaan kakitangan Muslim dalam potongan zakat bulanan, kadar wakalah yang layak diterima boleh meningkat sehingga 37.5 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar.

“Mekanisme wakalah ini memberi peluang syarikat untuk mengagihkan sebahagian zakat yang diterima semula terus kepada asnaf termasuk kakitangan B40,” katanya.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman, barisan pengurusan tertinggi PPZ-MAIWP dan wakil syarikat terlibat.

Mohd Na’im berkata jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya pemain industri akan terus diperluaskan dalam memperhebatkan kutipan dan agihan zakat serta memaksimumkan manfaat kepada golongan penerima dan seluruh masyarakat di Wilayah Persekutuan.

Maklumat lanjut berkaitan zakat boleh diperoleh menerusi portal rasmi www.zakat.com.my atau hubungi talian 1-300-88-5757.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan