BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nafuzi Ketepi Beberapa Pemain Utama Hadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2026

15/08/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan melakukan kejutan apabila tidak menyenaraikan beberapa pemain utama bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand dari 3 hingga 9 Sept ini.

Dua daripada tiga pemain yang pernah menggalas tugas sebagai kapten sebelum ini iaitu pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing antara yang diketepikan ketua jurulatih pasukan Nafuzi Zain.

Nafuzi turut tidak menyenaraikan penyerang berpotensi skuad Harimau Muda iaitu Fergus Tierney dalam 25 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat di Thailand bermula 18 hingga 30 Ogos ini.

Bagaimanapun, beberapa pemain tonggak masih dikekalkan antaranya pemain pertahanan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri yang juga seorang daripada kapten sebelum ini, penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli dan pemain tengah Ziad El Basheer Norhisham.

 Selain itu, Nafuzi mengekalkan ketiga-tiga penjaga gol yang dibawa ke kejohanan Piala ASEAN B-23 di Jakarta bulan lepas iaitu Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Zulhilmi Sharani.

Dalam kempen pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026, skuad bimbingan Nafuzi yang diundi dalam Kumpulan F akan membuka kempen menentang Lubnan pada 3 Sept, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 Sept) sebelum berdepan Thailand dalam aksi terakhir pada 9 Sept.

Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium True BG.

Hanya sebelas juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.

Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dilihat sebagai medan ‘penebusan’ skuad B-23 selepas anak buah Nafuzi tampil dengan persembahan mengecewakan pada saingan Piala ASEAN B-23 apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke Piala Asia B-23 pada edisi 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Berikut senarai 25 pemain skuad B-23 kebangsaan kendalian Nafuzi Zain bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Thailand dari 3 hingga 9 Sept:

 

   
Muhammad Arif Ilham Mohd Idwan Shah Imigresen FC II
Muhamad Faris Danish Mohd Asrul JDT II
Muhammad Alif Ahmad JDT II
Muhammad Shafizan Mohamad Arshad JDT II
Ziad El Basheer Norhisham JDT II
Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri JDT II
Danish Hakimi Sahaludin JDT II
Muhammad Danish Syamer Tajuddin JDT II
Muhammad Syukur Fariz Januri JDT II
Ariff Safwan Mohd Safri JDT II
Zulhilmi Sharani JDT II
Muhammad Akmal Hakim Rosli Kedah FA
Muhammad Haqimi Azim Rosli Kuala Lumpur City FC
Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa Melaka FC
Muhammad Aiman Danish Abd Aziz Melaka FC
Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri Negeri Sembilan FC
Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi Negeri Sembilan FC
Ahmad Danish Haikal Perak FA
Ahmad Haziq Kutty Abba Penang FC
Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin Selangor FC
Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil Selangor FC
Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon Selangor FC
Muhammad Danish Iskandar Marzizul Selangor FC
Muhammad Izrin Ibrahim Selangor FC
Muhammad Zachary Zahidadil Terengganu FC

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan