BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Lancar Garis Panduan Buli, Tidak Akan Normalisasi Budaya Toksik - Dzulkefly

21/08/2025 01:39 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa kementeriannya berpegang kepada dasar toleransi sifar terhadap amalan buli di tempat kerja dan tidak akan sesekali menormalisasikan budaya toksik dalam organisasi.

Beliau berkata amalan buli di tempat kerja satu gangguan sistemik yang meruntuhkan integriti organisasi, melemahkan motivasi dan menjejaskan kerjasama pasukan.

Dzulkefly berkata kesannya amat parah, apabila warga kerja merasa tertekan atau dipinggirkan menyebabkan mutu penjagaan pesakit terancam.

“KKM juga tidak akan berkompromi terhadap pelaku termasuk pegawai pengurusan tertinggi dipecat jika disabit bersalah menyembunyikan kes.

“Amalan toksik buli di KKM ini mungkin tidak ramai yang ingat, tetapi saya ingin mengingatkan semua. Pada penggal pertama saya memimpin KKM, saya telah mengambil tindakan terhadap seorang ketua jabatan di sebuah hospital. Akhirnya, beliau dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota KKM, di sini hari ini.

KKM merupakan kementerian pertama dalam sektor awam yang memperkenalkan panduan khusus bagi menangani kes buli.

Dzulkefly berkata walaupun kedudukan peribadi individu tersebut tinggi dalam hierarki perjawatan KKM, beliau tetap bertindak dan ia jelas mencerminkan komitmen KKM menolak tabiat dan tingkah laku buli khususnya di tempat kerja.

Beliau berkata sebanyak 430 aduan buli telah direkodkan menerusi sistem MyHealth setakat 31 Julai dan setiap aduan disiasat dengan teliti, berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan perlindungan kerahsiaan, termasuk bagi pengadu dan pemberi maklumat.

“Saya tidak mahu sebarang kes dilaporkan secara culas atau diremehkan, khususnya oleh ketua jabatan,” katanya.

Dzulkefly memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya termasuk di bawah garis panduan baharu itu bagi menjaga privasi serta maklumat yang diterima.

“Sangat penting untuk memastikan bahawa mangsa atau pemberi maklumat dilindungi terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan lain diambil,” katanya.

Dzulkefly turut menekankan budaya saling menegur dalam kalangan warga kerja agar KKM menjadi organisasi yang dinamik, proaktif dan berdaya tahan.

“Budaya buli mesti dihentikan. Kita perlu mewujudkan suasana kerja yang selamat, penuh kasih sayang dan berteraskan nilai MADANI. Itu tanggungjawab bersama, bermula daripada kepimpinan tertinggi hingga ke seluruh warga kerja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan