BELANJAWAN 2025 > BERITA

Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam Dirangka Bagi Agenda Pembangunan Teknologi

21/08/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Digital Negara (JDN) sedang merangka polisi pendigitalan data sektor awam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan teknologi baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). 

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata polisi pendigitalan data itu akan merangkumi aspek pengenalpastian data yang wujud dalam semua kementerian serta agensi kerajaaan.

“Ini bagi memastikan data itu sama ada dalam bentuk analog, audio, visual atau gabungan daripadanya dapat didigitalkan dengan segera mengikut piawaian yang ditetapkan mengambil kira jenis data, tahap keselamatan dan aspek privasi yang diperlukan untuk membolehkan ia digunakan segera sekiranya perlu.

“Polisi ini dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selepas usaha pendigitalan data itu dilaksanakan, aspek penyimpanan data juga akan menjadi keutamaan Kementerian Digital menerusi penubuhan Bank Data yang digariskan di bawah RMK13.

“Dalam pembentangan RMK13, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyentuh bahawa bank data akan diwujudkan bagi tujuan simpanan data, kementerian ini sedang merangka tindakan yang perlu untuk menjayakan agenda ini,” katanya.

Gobind berkata Suruhanjaya Data juga akan ditubuhkan di bawah RMK13, selaku badan kawal selia bagi memastikan tadbir urus pematuhan piawaian serta keberkesanan perlindungan data kekal selamat, telus serta berintegriti.

Bagi menambah baik sistem perkhidmatan digital kerajaan, beliau berkata Kementerian Digital akan melancarkan aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia sebagai pusat sehenti perkhidmatan digital kerajaan.

“Aplikasi ini mengintegrasikan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan secara berperingkat dengan MyDigital ID sebagai kunci masuk utama dan ia menawarkan pelbagai kategori perkhidmatan seperti paparan maklumat, semakan pembayaran dan permohonan.

“Integrasi dengan perkhidmatan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksana secara berperingkat mulai tahun depan hingga 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan