KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 16 juara Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dari Selangor dan Wilayah Persekutuan bakal berentap bagi merebut piala Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Magnolia di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya dari 13-16 Okt ini.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM) Ithnin Mahadi berkata kejohanan empat hari menghimpunkan 288 pemain yang mendapat sokongan pihaknya itu mampu menjadi platform mengenal pasti bakat untuk diserapkan ke sekolah-sekolah sukan di dalam negara.
Ithnin berkata kerjasama antara Kementerian Pendidikan dengan Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) yang telah lama terjalin ialah bukti komitmen berterusan mereka dalam pembangunan bola sepak Malaysia dari peringkat akar umbi.
“Pihak swasta sememangnya mempunyai peranan penting dalam membangunkan sukan, dan kami menghargai sokongan jangka panjang F&N Beverages Marketing Sdn Bhd,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri, Fraser & Neave Holdings Bhd. Norazrin Norsyam Yee berkata penajaan pihaknya bagi penganjuran Liga KPM sejak 2008 mendorong mereka untuk menganjurkan pertandingan berkualiti dan meluaskan lagi penglibatan dalam kejohanan B-12.
Kesemua pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Pasukan sekolah yang menyertai edisi sulung kejohanan terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 9 (2) dan SK Presint 15 (1) dari Putrajaya, SK Sultan Hisamuddin Alam Shah, SK Cochrane, SK Taman Melati, SK Batu Muda, SK Damansara Damai (2), SK Serdang, SK Semenyih, SK Bukit Naga, SK Taman Tun Teja, SK Bandar Baru Salak Tinggi, SK Ulu Yam Bharu, SK Seri Pristana, SK Kebun Baharu dan SK Binjai Jaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial