BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar, Sultan Brunei Adakan Perbincangan Di Seri Perdana

27/08/2025 12:38 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini mengadakan perbincangan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia–Brunei (ALC) ke-26.

Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana pada 10.30 pagi, diiringi Putera ‘Abdul Mateen Bolkiah, disambut oleh Anwar.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta beberapa menteri Kabinet.

Sebaik tiba, Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan pelbagai perkara, termasuk hubungan dua hala erat yang telah lama terjalin.

Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual menghadiri jamuan tengah hari yang dianjurkan Anwar di Seri Perdana.

Baginda berada di Malaysia bagi lawatan negara atas jemputan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei, yang menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu semasa serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Pada 2024, Brunei muncul sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencatatkan USD690 juta (RM3.02 bilion), melibatkan eksport USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan