PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan antara Malaysia dan Brunei.
Majlis berkenaan diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini, sempena Lawatan Negara Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari bermula Isnin atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya dari Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar, masing-masing menandatangani dokumen MoU berkenaan bagi pihak negara.
Sultan Hassanal Bolkiah, yang diiringi Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah, menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei, tiba di Malaysia semalam pada 3.03 petang dengan pesawat khas yang mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Sultan Hassanal Bolkiah diberi sambutan negara di Istana Negara semalam, diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong serta majlis santapan negara yang dianjurkan oleh Sultan Ibrahim.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu akan disusuli dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26.
ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara kedua-dua negara, berperanan sebagai wadah untuk menilai kemajuan kerjasama, membincangkan isu semasa serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Lawatan negara serta rundingan tahunan ini mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial