BELANJAWAN 2025 > BERITA

RUU Perolehan: Kerajaan Lakukan Satu Lagi Reformasi Besar - PM Anwar

27/08/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI melakukan satu lagi reformasi besar yang tidak berani atau sanggup dilaksanakan pentadbiran terdahulu menerusi pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata seperti penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), kerajaan sekali lagi menerusi perundangan, mengikat kuasa kerajaan bagi memperkukuh tatakelola pentadbiran.

Beliau berkata menerusi RUU itu, semak dan imbang diperkukuh dengan keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula menerusi proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.

Anwar berkata RUU Perolehan Kerajaan juga memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali atas kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU itu.

“Keberanian untuk melakukan anjakan ini ialah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah negara dan memastikan warisan kita kepada generasi akan datang bukanlah hutang, kebejatan dan kesengsaraan, tetapi sebuah Malaysia yang adil, bermaruah dan berdaya saing.

“Tidak akan berjaya usaha menaikkan siling dan lantai (pendapatan) tanpa tatakelola terbaik dalam pentadbiran, yang mempertahan integriti institusi, ketegasan membanteras salah laku, pembaziran sumber dan rasuah selain keutamaan menguruskan kewangan negara dengan telus, cekap dan berintegriti,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata sejarah panjang negara penuh dengan pengajaran yang gelap dan pahit, sekali gus menjadi bukti nyata bahawa persoalan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, malah tuntutan yang mesti dilaksanakan.

Beliau antara lain menyentuh mengenai keterlanjuran dalam skandal Maminco sekitar 80-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar akibat urus niaga Forex, tragedi 1MDB, perolehan LCS (Kapal Tempur Pesisir) dan perolehan ketenteraan termasuk skandal Jana Wibawa.

“Jadi, kita tegaskan bahawa budaya penganugerahan kontrak secara runding terus tidak boleh diteruskan. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan bobrok yang hanya membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

“Seluruh jentera dan sendi kekuasaan mesti patuh tunduk pada hukum dan undang-undang, bukan sebaliknya. Apakah ia sesuatu yang mudah untuk kita lakukan? Sudah semestinya tidak,” katanya.

Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya yang memberikan kebebasan penuh kepada badan penguat kuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri bebas bagi menjalankan tugas tanpa campur tangan mana-mana pihak, malah ini turut diperkukuh dengan komitmen di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan