BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penghuni Rumah Gempar Ular Sawa Lebih 80 Kg Jatuh Dari Siling

27/08/2025 04:14 PM

KUANTAN, 27 Ogos (Bernama) -- Penghuni sebuah rumah di Kampung Kempadang di sini hari ini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa seberat lebih 80 kilogram (kg) yang jatuh dari siling bilik kediaman itu. 

Penghuni rumah, Mazlan Zakaria, 67, berkata pada mulanya dia terdengar bunyi runtuhan dan mendapati ia akibat siling di bilik anak perempuannya yang jatuh. 

Seketika kemudian, pesara itu terdengar bunyi runtuhan kedua lalu pergi ke bilik berkenaan sebelum terlihat ular sawa dengan panjang dianggarkan 10 meter berada di atas katil bersama sisa runtuhan siling. 

“Kebelakangan ini memang terdapat bunyi di atas bumbung, saya ingat tikus atau anak musang yang berlari pada waktu malam dan hari ini kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran ular yang sangat besar dari siling bumbung rumah. 

“Kami segera buat panggilan 999 untuk minta bantuan sebelum pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang mengeluarkan ular berkenaan dari rumah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, anak perempuan Mazlan yang hanya ingin dikenali sebagai Wani, 20, berkata sekitar dua tahun lepas rumah berkenaan pernah ‘dikunjungi’ reptilia berkenaan. 

“Ketika itu ular hanya berada di laman rumah tidak sempat masuk dan ditangkap tetapi hari ini seekor lagi berada di atas siling bilik mujur ketika kejadian saya sedang berada di luar bilik,” katanya. 

Pegawai APM Daerah Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.53 pagi tadi sebelum 10 anggota dan dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian. 

Zahidi berkata operasi mengeluarkan ular sawa dari rumah berkenaan mengambil masa kira-kira 45 minit berikutan saiz reptilia itu yang besar dan panjang. 

“Ular tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan