BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Lulus Peruntukan RM67 Juta Biaya Pelbagai Projek Awam Di Selangor

12/09/2025 03:59 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM67 juta peruntukan diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini bagi membiayai pelbagai bentuk projek kecil dan infrastruktur awam di Selangor tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu merangkumi empat jenis projek iaitu Projek Mesra Rakyat dengan siling RM44 juta dan Projek Infrastruktur Awam/Asas Rakyat (PINTAR) dengan siling peruntukan RM4.5 juta.

“Dua lagi projek iaitu Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA) dan PRISMA MOF dengan siling peruntukan masing-masing sebanyak RM6.5 juta dan RM12 juta,” katanya ketika berucap pada majlis Serah Surat Tawaran Kerja Indent di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pelaksanaan kesemua projek itu adalah bagi melengkapkan projek Rancangan Pembangunan Lima Tahun (RMLT) di samping meningkatkan imej kerajaan menerusi pelaksanaan projek yang memenuhi keperluan rakyat.  

“Ia juga bertujuan untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas dan menunjukkan keprihatianan kerajaan terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Bagi tujuan pelaksanaan projek-projek ini, terdapat beberapa kaedah perolehan (kepada kontraktor) yang dibenarkan iaitu secara sebut harga, undi dan lantikan terus mengikut had nilai masing-masing berdasarkan kepada Pekeliling Perolehan Kerajaan oleh Kementerian Kewangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut mengagihkan sumbangan berupa sebuah komputer riba dan sijil penghargaan kepada 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan keputusan 9A dan ke atas dan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Beliau berkata sumbangan menerusi Program Sejahtera MADANI-Pendidikan: Bantuan Peranti MADANI itu merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua (pelajar) yang berjaya dan cemerlang. Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada semua dan menjadi dorongan serta kekuatan untuk lebih maju pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan