BELANJAWAN 2024

RM6.3 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK JUALAN RAHMAH PAHANG - FUZIAH

08/02/2024 01:52 PM

KUANTAN, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  memperuntukkan RM6.3 juta bagi Program Jualan Rahmah fasa pertama di Pahang tahun ini, kata Timbalan Menterinya Fuziah Salleh. 

Beliau berkata hampir 500 Jualan Rahmah telah diadakan di Pahang pada 2023 dan pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan penganjuran program itu pada tahun ini.

“Secara minimum setiap Parlimen anjurkan dua kali sebulan, permintaan daripada rakyat untuk program ini juga tinggi dan peruntukan itu sedia ditambah memandangkan peruntukan bagi inisiatif Payung Rahmah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM200 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata program yang dijalankan menurusi tiga model iaitu dalam premis, luar premis dan #kedaicarirakyat, Jualan Rahmah bergerak menerusi lori mendapat respons yang baik dalam kalangan rakyat.

“Kajian impak yang dijalankan mendapati 72 peratus inisiatif itu membantu rakyat menangani kos sara hidup manakala kira-kira 63 peratus merasakan Jualan Rahmah itu ada kesan langsung kepada mereka, kalau boleh rakyat nak kerap lagi dan lebih banyak barangan dijual tetapi kami tumpu barang keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan 1,607 pemeriksaan telah dilaksanakan setakat semalam selepas skim harga maksimum dikuatkuasakan bermula Selasa lepas, membabitkan 2,200 anggota penguat kuasa bersama 900 pegawai pemantau harga yang telah ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan