BERAT BERLEBIHAN: JBPM KL ANJUR PROGRAM KECERGASAN DAN KESIHATAN UNTUK ANGGOTANYA

25/04/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur melaksanakan program kecergasan dan kesihatan bermula bulan ini bagi memastikan semua anggota yang bertugas mempunyai berat badan dan bacaan indeks jisim badan (BMI) yang normal.

Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata berdasarkan saringan yang dijalankan pada Januari lepas, kira-kira tujuh peratus daripada 923 anggotanya didapati mempunyai berat badan berlebihan serta bacaan BMI melebihi 30.

Beliau berkata walaupun angka berkenaan rendah jika dibandingkan dengan anggota di negeri lain, pihaknya enggan berasa selesa dan mahukan semua anggota yang bertugas mempunyai berat badan dan bacaan BMI ditetapkan.

Menurutnya ia bagi memastikan semua anggota mampu menjalankan tugas menyelamat dan memadam kebakaran dengan baik tanpa mendatangkan bahaya dan kecederaan terhadap diri sendiri.

“Program ini telah dirancang sejak Januari lepas dan disertai seramai 100 anggota serta mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Cheras dan Dietmonsta Sdn Bhd sebuah syarikat pembekal makanan sihat.

“Program ini juga bertujuan memastikan anggota yang mempunyai BMI melebihi bacaan ditetapkan dapat menurunkan berat badan dengan teratur dan berkesan tanpa menjejaskan kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di program berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rozihan Anwar berkata bacaan BMI yang ditetapkan bagi semua anggota JBPM yang bertugas adalah antara 19 hingga 26.

“Malah baru-baru ini, satu perintah tetap ketua pengarah bagi 2024 telah dikeluarkan iaitu mana-mana anggota yang tidak mencapai tahap BMI ditetapkan akan dikenakan tindakan serta tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau anugerah,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan