KANAK-KANAK PEREMPUAN CEDERA TERJATUH DARI TINGKAT DUA PANGSAPURI

27/04/2024 08:58 PM

SEREMBAN, 27 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas terjatuh dari tingkat dua rumahnya di Pangsapuri Taman College Height di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kejadian kira-kira 9.20 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak berusia empat tahun berkenaan dipercayai berada bersama seorang adik perempuannya berusia tiga tahun, manakala ibu bapa mereka tiada di rumah.

“Berdasarkan pemerhatian, tingkap rumah itu tidak berkunci dan tiada jeriji. Ketika tiba, anggota polis lihat saksi memangku kanak-kanak itu yang dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang cedera pada dagu dan patah tulang paha kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, manakala polis akan merekodkan keterangan ibu bapanya untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mohamad Hatta sehubungan itu menasihati ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak-anak yang masih kecil bersendirian di rumah walaupun hanya sebentar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan