KASTAM KELANTAN RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI LEBIH RM800,000 TERMASUK CUKAI

06/06/2024 08:33 PM

PASIR MAS, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Kelantan mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 daripada sebuah lori yang ditinggalkan di Kampung Dalam di Tumpat, dekat sini Ahad lepas.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, hasil daripada intipan, pihaknya menemukan sebuah lori ditinggalkan di kawasan terpencil di kampung berkenaan dan pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemukan puluhan kotak berisi rokok putih jenama Saat.

“Secara keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai (RM577,060) dan lori (RM50,000) dianggarkan sebanyak RM863,560 dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori yang disita,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan mendapati modus operandi penyeludup adalah dengan membawa bekalan rokok tidak bercukai itu ke kawasan terpencil dan meninggalkan bersama lori untuk diambil pula oleh individu lain.

Wan Jamal berkata kastam tidak menolak kemungkinan lori itu bertukar pemandu dengan pemandu sindiket lain yang membawa bekalan rokok itu untuk dipasarkan ke negeri ini.

Menurutnya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada rokok tidak bercukai ini dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar sempadan atau dari luar Kelantan sebelum diedarkan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kastam juga menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan