TIGA MAUT, 36 CEDERA DALAM NAHAS BABITKAN BAS DAN TRELER DI ROMPIN

09/06/2024 05:24 PM

ROMPIN, 9 Jun (Bernama) -- Tiga maut manakala 36 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata kejadian berlaku semasa bas membawa 39 orang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras sekitar pukul 1 pagi.

Beliau berkata yang maut di tempat kejadian ialah seorang guru Hasnatul Adilah Hassan, 48, manakala pemandu kedua bas berkenaan Hadi Asyraf Mad Idris, 29, meninggal dunia semasa di bawa ke hospital, dan seorang pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dalam keadaan gelap di simpang tiga Bahau apabila bas yang hilang kawalan itu melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan HTAA untuk menerima rawatan.

Nor Azman seterusnya meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan