TANAH RIZAB MELAYU : SPRM MUNGKIN PANGGIL BEKAS EXCO PERAK BANTU SIASATAN

09/06/2024 08:25 PM

SERI ISKANDAR, 9 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.

"Inilah adalah peringkat kedua setelah seorang pegawai PTG didakwa (April lalu). Kita sedang teliti minit - minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa kepada kelulusan Exco. 

“Saksi-saksi lain dan anggota Exco ini akan kita panggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dan akan ada pendakwaan dalam masa terdekat, "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini hari ini.

Pada 30 April lalu seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak dihadapan di Mahkamah Sesyen di Ioph atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan oleh SPRM dan direman selama tiga hari berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan pada 30 Mei. 

Sementara itu, Azam berkata suspek dibebaskan kerana tempoh reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret telah tamat namun siasatan kes berkenaan tetap diteruskan. 

Dalam perkembangan lain, katanya akaun tiga suspek kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis yang ditahan Rabu lalu akan dibekukan.

Terdahulu, tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di Kangar, direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan