PEMILIK PREMIS HARAM DISYAKI ORANG TENGAH KUMPUL RASUAH UNTUK PENGUATKUASA DITAHAN

14/06/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang pemilik premis haram kerana disyaki menjadi orang tengah yang mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguatkuasa, semalam.

Sumber SPRM memaklumkan suspek yang berusia lingkungan 60-an itu ditahan jam 6.45 petang dan kini direman selama empat hari sehingga 17 Jun depan.

Beliau berkata suspek dipercayai menjadi orang tengah atau perantara yang mengumpul wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut dan pusat hiburan di ibu negara.

"Wang yang dikumpul kemudiannya akan diagihkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kepada anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Susulan tangkapan itu juga, beliau berkata SPRM turut menemui dan menyita wang berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai telah dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota-anggota penguat kuasa.

"Tangkapan ini juga adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang timbalan pengarah PBT pada 7 Jun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 8 Jun lepas, Bernama melaporkan SPRM Kuala Lumpur menahan tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan sehingga RM500,000 daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan