BICARA KES RASUAH, PENGUBAHAN WANG HARAM ADAM RADLAN DITANGGUH LAGI KE 9 JULAI INI

10/06/2024 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa yang dijadualkan bermula hari ini di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan lagi ke 9 Julai.

Hakim Suzana Hussin turut melapangkan tarikh perbicaraan hari ini sehingga 12 Jun selepas peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, memohon penangguhan perbicaraan kes itu berikutan pihak pendakwaan baharu sahaja menyerahkan satu set dokumen berkaitan kes kepada pembelaan pada Jumaat lepas (7 Jun).

"Pihak kami (pembelaan) memohon masa untuk meneliti dokumen berkenaan," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan kes Adam Radlan yang menghadapi lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram itu.

Katanya pihak pendakwaan baru sahaja dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa terdapat beberapa dokumen yang terlepas pandang untuk diserahkan kepada pihak pembelaan bagi tujuan perbicaraan.

"Kami memohon maaf berhubung kelewatan untuk menyerahkan satu set dokumen itu kepada pembelaan," kata Mohamad Fadhly.

Selain 9 Julai, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan pada 10 dan 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan