PEMANDU E-HAILING DIDAKWA CABUL WANITA DI KEDAI PERALATAN PEMBAIKAN RUMAH 

18/06/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki yang videonya tular kerana menyentuh punggung seorang wanita di sebuah kedai runcit peralatan pembaikan rumah di Selayang minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Irwan Iesa, 38, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan wanita berusia 38 tahun itu di dalam kedai berkenaan di Selayang pada 2 petang, 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Gan Sing Gee dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah atas alasan isteri tertuduh sarat mengandung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan